BAHASA Hargai Anugerah Jabatan Pendidikan Sabah

MEMOTONG KEK…Datuk Dr. Mistirine Radin bersama wakil tokoh seni memotong kek di majlis itu .

KOTA KINABALU: Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) menghargai Anugerah DWEN yang diberikan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah melalui program Dasar Warga Emas Negara yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di kota Kinabalu pagi semalam.

Presiden BAHASA, Datuk Jasni Matlani berkata, Anugerah itu bukan hanya semata-mata pengiktirafan kepada penulis dan aktivis seni yang lain di negeri ini tetapi ia juga turut membuka mata ramai pihak termasuk agensi kerajaan yang bertanggungjawab, agar lebih prihatin dan menghargai sumbangan penulis dan aktivis seni Sabah selama ini.

“Terdapat agensi kerajaan berkaitan yang menyusukan kera di hutan tetapi anak di rumah sendiri mati kelaparan. Justeru itu, adalah wajar kita menghargai penulis dan aktivis watan negeri Sabah ini sesuai jasa dan bakti mereka kepada bidang sastera dan bidang seni lain yang tidak ternilai harganya itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan sejurus selepas menghadiri majlis Program Dasar Warga Emas Negara, (DWEN) anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, di salah sebuah hotel terkemuka di sini, pagi semalam.
Dalam majlis itu empat puluh orang penulis dan aktivis seni tari, lakonan, dan penyanyi tersohor negeri Sabah diberikan Anugerah DWEN.

Antara mereka yang menerima anugerah itu ialah Datuk Dedy M Borhan, Datuk Jasni Matlani, Abu Bakar Ellah, Datuk Justin Lusah, Suhaimi Magi, Datuk George Sangkin, Peter Dicky Lee, Lina Mohd Lin, Abdul Karim Gullam dan Osman Nasroh.

Manakala ahli BAHASA yang turut diberikan Anugerah ialah Siti Rahmah G Ibrahim, Hassan Saprin, Hasyuda Abadi, Juri Durabi, James Taling, Mahmud Jahar, Ramli Jusoh dan Ismail Duah.

Jasni yang juga penerima Anugerah SEA Write Award 2015 berkata, program DWEN itu juga turut memberi impak yang besar kepada kesinambungan penulisan dan seni lain kerana seramai 40 orang pelajar sekolah menengah dari seluruh negeri Sabah yang menyerlah dalam bidang penulisan, seni tari, lakonan dan nyanyian turut berpeluang menimba pengalaman dan tips daripada tokoh penulis, seni tari, lakonan dan nyanyian negeri Sabah, semasa majlis itu.

“Patah tumbuh hilang berganti. Justeru itu saya berharap, bidang penulisan dan seni lain ini akan terus diwarisi. Manakala institusi pendidikan serta agensi yang bertanggubgjawab terhadap pembangunan pendidikan negeri ini turut memperkasa bidang penulisan dan seni lain sebagai alternatif peluang kerjaya di masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Dr. Mistirine Radin, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah ketika berucap di majlis itu, mahu tokoh penulis dan seni negeri Sabah dijadikan kajian sama ada di peringkat sekolah menengah mahu pun di peringkat universiti.

“Anak saya sendiri, membuat kajian lengkap tentang ketokohan dan penglibatan seni Abu Bakar Ellah semasa menulis tesis di peringkat sarjana beberapa tahun lalu. Tesis itu bakal diterbitkan dalam tempoh terdekat. Selepas ini saya harap lebih ramai tokoh penulis dan seni lain dijadikan sumber kajian untuk keperluan ijazah mereka di pelbagai peringkat,”katanya.

scroll to top