SEMPORNA: Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) menyumbangkan buku buku berbentuk kreatif dan non kreatif kepada SK Tagasan, Semporna baru-baru ini.
Presiden BAHASA, Datuk Jasni Matlani berkata, sebahagian besar buku yang disumbangkan itu merakamkan kearifan tempatan Sabah dan boleh dimanafaatkan oleh para pelajar bagi meningkatkan kefahaman mereka mengenai budaya, sejarah dan kehidupan masyarakat negeri ini.
“Buku-buku yang disumbangkan itu juga ditulis dan dihasilkan oleh para penulis Sabah yang berkaliber dan gigih berkarya selama ini dan mendapat pelbagai anugerah serta pengiktirafan sama ada di peringkat negeri, kebangsaan dan di peringkat seranatau,” kata Jasni.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan buku berkenaan kepada Nunhati Malizaman, Pengerusi BAHASA Cawangan Semporna, di Kota Kinabalu, baru-baru ini, sebelum beliau menyerahkannya kepada Guru Besar sekolah SK Tagasan, Motahar @ Mohd Darah Janani.
Jasni yang juga Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia berkata, sumbangan itu juga merupakan sebahagian daripada aktiviti BAHASA bagi membantu menyebar luaskan karya penulis Sabah, terutama di peringkat sekolah dan pelbagai institusi negeri ini.
“Selain daripada menganjurkan beberapa pertemuan penulis, mengadakan bengkel penulisan kreatif dan non kreatif di pelbagai peringkat di seluruh negeri, BAHASA juga aktif menyumbangkan karya penulis Sabah untuk menjadi bahan rujukan dan sumber bacaan tambahan para pelajar sekolah negeri ini,” katanya.
Manakala, dalam perkembangan yang berkaitan, Guru Besar SK Tagasan, Motahar berkata, beliau amat berterima kasih kepada Badan BAHASA kerana sudi menyumbangkan buku karya penulis negeri Sabah ini kepada Pusat Sumber sekolah berkenaan.
“Buku-buku itu juga merupakan rakaman dan dokumentasi penting yang pasti berguna dan memberikan motivasi kepada para pelajar, kerana buku tersebut boleh digunakan dalam pembacaan Program ‘Nilam’ di peringkat sekolah,” kata Motahar.
Menurut beliau lagi, buku-buku itu juga amat bermanfaat dalam usaha sekolah menambah koleksi buku dan bahan bacaan di Pusat Sumber Sekolah, yang memang menjadi perhatian dan menjadi agenda utama sekolah.