BAHASA terus semarak karya penulis Sabah – Jasni

JASNI MATLANI

KOTA KINABALU : Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) terus menyemarakkan kegiatan Sastera di Sabah melalui penerbitan lebih banyak buku.

Presiden BAHASA, Datuk Jasni Matlani berkata, dalam tempoh terdekat sekurang – kurangnya tujuh buah buku dalam pelbagai genre akan diterbitkan dan semua buku berkenaan dicetak melalui syarikat penerbitan Iris Publishing.

“Bahasa terus memperkasakan industri penerbitan ini, terutama melibatkan penulis Sabah, kerana kita mahu penulis negeri ini mampu terus bersaing di peringkat kebangsaan dan serantau.” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh BAHASA di sini, selepas beliau menghadiri mesyuarat Ahli Lembaga pengelola DBP, di Kuala Lumpur, semalam.

Buku-buku yang diterbitkan itu ialah kumpulan cerpen “Cerita Burung yang Muncul di Jendela, Si Pemikat Burung dan Pemancing Aneh” karya Jasni Sendiri, novel “Anak Syurga” karya Sitti Rahmah G. Ibrahim, novel “Jalan Seribu Liku”  karya Juri Durabi.

Turut diterbitkan ialah buku novel” Selendang Merah Jambu” karya Salvia Rose, kumpulan cerpen “Malam itu Aku Menjadi Angin” oleh Edward Solibi, buku drama “Perempuan Bertopeng di Bilik Terakhir. ” oleh Hassan Saprin dan “Puisi Apresiasi dan Bimbingan Penulisan” oleh Dr. Raymond Majumah.

Semua buku berkenaan diterbitkan di bawah Dana Penerbitan Kementerian Kewangan Malaysia melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diberikan kepada penerbit buku bumiputera negara ini.

Jasni yang juga Ahli Lembaga pengelola DBP Malaysia berkata, walaupun negara semakin beralih ke fasa penerbitan digital, tetapi masih terdapat keperluan untuk menerbitkan buku dalam bentuk fizikal.

“Khalayak pembaca buku yang dicetak dalam bentuk fizikal mungkin terhad dan tidak merentas sempadan geografi, tetapi masih ada keperluan dan ruang yang luas untuk terbitkan buku terutama untuk keperluan di peringkat domesttik, dan dalam konteks dokumentasi karya sastera dan penanda aras ketamadunan kita.”  katanya.

scroll to top