KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyalurkan bantuan sebanyak RM55,000 kepada penduduk di lima kampung di Pulau Gaya, di sini, selepas kediaman mereka terjejas akibat dilanda angin kencang, semalam.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Shahelmey Yahya berkata, RM50,000 daripada sumbangan berkenaan disalurkan oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Manakala katanya, dana selebihnya iaitu sebanyak RM5,000 pula diterima daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.
“Kita harapkan bantuan ini dapat membantu bebanan mangsa yang difahamkan membabitkan seramai 12 keluarga di lima kampung yang terjejas.
“Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) juga akan mengenal pasti secara lebih terperinci bagi menyalurkan sebarang bantuan lain yang diperlukan mereka yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melakukan tinjuaan kesan kerosakan angin kencang di Pulau Gaya, di sini.
Shahelmey yang turut meninjau keadaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya berkata, kejadian menyebabkan dua blok bilik darjah mengalami kerosakan teruk.
Katanya, ia tidak lagi dapat digunapakai untuk sesi pembelajaran pelajar terlibat di sekolah berkenaan.
“Kita akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk mengenalpasti penempatan pelajar terlibat.
“Ia bagi memastikan proses pembelajaran mereka tidak terganggu lebih-lebih lagi mereka yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Shahelmy berkata, beliau juga akan merujuk perkara berkenaan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi mendapatkan inisiatif lain untuk membantu seramai kira-kira 8,000 pelajar terjejas.
Sementara itu Pengetua SMK Pulau Gaya, Kinit Taguk berkata, ketika kejadian berlaku, warga sekolah yang berada di lokasi memaklumkan berlakunya angin kencang seperti puting beliung selama kira-kira lima minit.
Katanya, semua guru, penjaga kantin dan pengawal keselamatan yang melihat kejadian itu masih dalam keadaan terkejut.
“Kerosakan di sekolah ini dilihat banyak disebabkan ancaman ombak dan angin kencang sehingga mengganggu kekukuhan struktur di sini.
“Kita juga sedang menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah sekiranya diberi cuti tambahan kerana sekolah tidak dapat beroperasi,” katanya.