Bashir Dan Dr Fary Terima Pangkat Kehormat JBPM

PENGHARGAAN ... Mohammad (kanan) memakaikan tanda pangkat Kehormat Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Malaysia kepada Bashir.

LABUAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberikan penghargaan kepada dua pemimpin di Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.

Mereka ialah Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman.

Bashir yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan menerima pangkat Kehormat Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Malaysia.

Manakala Dr Fary Akmal Osman yang baharu sahaja menamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan dianugerahkan pangkat Kehormat Penolong Pesuruhjaya Bomba Malaysia.

Majlis penganugerahan disempurnakan oleh Ketua Pengarah JBPM, Dato’ Seri Mohammad Hamdan Wahid dalam satu majlis penuh istiadat di salah sebuah hotel di sini, pada Isnin lalu.

Penganugerahan yang julung kalinya diadakan di wilayah ini diadakan sebagai menghargai komitmen individu yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dan hebat.

PENGHARGAAN … Mohammad (kanan) memakaikan tanda pangkat Kehormat Penolong Pesuruhjaya Bomba Malaysia kepada Dr Fary.

Pada masa sama, anugerah diberikan terhadap mereka yang telah mencurahkan khidmat jasa bakti dalam apa juga lapangan terutamanya dalam hal kebombaan dan penyelamatan.

Turut hadir pada majlis bersejarah itu ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Wilayah Persekutuan Labuan, Ismaidi Ismail.

Hadir sama Pegawai Kanan JBPM Labuan.

scroll to top