SEMPORNA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini menafikan bekalan gula di daerah Semporna dan Kunak telah kehabisan stok.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Semporna, Jong Jee Leong berkata pihaknya memang ada menerima aduan berhubung kesukaran untuk mendapatkan bekalan gula di Semporna dan Kunak minggu lalu.
“Namun, pihak kami yang membuat tinjauan dan pemeriksaan di beberapa premis peniagaan di daerah ini mendapati bekalan gula masih ada dijual.
“Malah, bekalan gula juga tiba kepada peruncit mengikut jadual pesanan yang telah diterima daripada pihak pembekal,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurutnya, mengikut data pengagihan bekalan daripada Peruncit Daerah Terpilih (DDR) dan Pemborong Daerah Terpilih (DDW) KPDNHEP Semporna, semuanya telah mengikut jadual.
“Sepanjang tempoh dari 1 hingga 13 Julai lalu sebanyak 20,540 kilogram gula telah diagihkan di daerah ini dan 13,830kg pula telah diagihkan di daerah Kunak.
“Sementara itu, sebanyak 15,000kg lagi dijangkakan akan diagihkan pada esok (Khamis) untuk kedua-dua daerah ini,” katanya.
Pada masa sama, katanya, pegawai penguatkuasa KPDNHEP Semporna juga telah menjalankan 262 kali pemeriksaan dan pemantauan di kedua-dua daerah itu dalam tempoh tersebut.
“Mungkin ada sebahagian premis perniagaan yang sudah tidak mempunyai bekalan atau kehabisan stok atas faktor-faktor tertentu,” katanya.
Jong berkata, KPDNHEP akan sentiasa memastikan bekalan barangan keperluan asas terutamanya gula sampai kepada peruncit/peniaga agar pengguna tidak terputus bekalan dalam tempoh yang lama.
“Kami juga telah membuat pemeriksaan di premis-premis perniagaan pada setiap hari, termasuk hujung minggu untuk memastikan bekalan barang kawalan selalu mencukupi.
“Orang awam dinasihatkan supaya melaporkan masalah kekurangan bekalan barang kawalan menerusi talian Bilik Gerakan KPDNHEP Semporna di 089-782855,” katanya.– ADMIN