LABUAN: Belia masa kini perlu bersifat kompetitif dan berilmu untuk menghadapi cabaran terbuka di masa hadapan.
Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias berkata para belia perlu dibekalkan dengan pelbagai ilmu untuk mendepani cabaran membangunkan negara.

UCAPAN …Bashir Alias semasa menyampaikan ucapan.
“Kalau ingin melihat kemajuan negara di masa hadapan maka lihatlah belia pada zaman ini, tanamkan ilmu-ilmu yang berguna kepada belia seperti ilmu perniagaan dan kepimpinan demi melahirkan generasi belia bermutu.
“Masa depan menjanjikan cabaran yang begitu besar dengan kepesatan teknologi komunikasi moden di mana kita bukan hanya bersaing dalam Negara malah ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Tegas Bashir, para belia perlu bersedia dengan ilmu agar mampu bersaing serta menempuh cabaran masa depan.
Bashir berkata demikian semasa berucap pada Program Agihan Bakul Makanan Belada dan Merdeka@Komuniti anjuran bersama Persatuan Belia Kampung Sungai Lada dan Jabatan Penerangan Labuan di Dewan Komuniti Kampung Sungai Lada, pada Sabtu.
Beliau turut menyeru persatuan-persatuan belia agar sentiasa berhubung dengan agensi-agensi lain bagi mencari peluang meningkatkan ilmu serta kemahiran para belia tempatan.

BAHAN JAPEN … Supian (kiri) menyampaikan bahan-bahan penerbitan JaPen kepada Abdul Mutalib.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Labuan, Supian Musa berkata, para belia perlu menghayati semangat kemerdekaan negara yang sebenar.
“Para belia perlu memerdekakan pemikiran mereka daripada sebarang unsur yang negatif, belia perlu bebas daripada pemikiran yang menghalang diri mereka dari melakukan perubahan yang lebih baik.
“Jangan terpengaruh dengan idealisme yang membawa belia kepada budaya yang tidak mencerminkan aspirasi pembentukan negara ini,” katanya.
Jelas Supian, belia perlu kekal dengan acuan sederhana dan tidak melampau dalam menyuarakan pandangan serta kritikan.
Supian turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Belia Kampung Sungai Lada (Belada) yang menjadikan JaPen sebagai rakan strategik dalam menggelorakan semangat cintakan negara sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

SAMPAIKAN … Belada turut menyampaikan bakul makanan dan bahan penerbitan JaPen kepada belia Kampung Sungai Lada.
Sempena program itu, sebanyak 40 bakul makanan disumbangkan kepada beberapa pertubuhan belia dan penduduk kampung Sungai Lada selain edaran bahan penerbitan JaPen kepada penduduk kampung.
Hadir sama Ketua Kampung Sungai Lada, Jali Mumin, Presiden Majlis Belia Labuan, Abdul Mutalib Sahari dan Pengerusi Belada, Faridzuan Abdul Harah.- Jabatan Penerangan Labuan.