KUNAK: Kembali ke sekolah selepas bercuti menghadirkan keseronokan tersendiri bagi pelajar tetapi tidak semua kanak-kanak bernasib baik dan memiliki kelengkapan sekolah yang mencukupi untuk memulakan pembelajaran.
Sehubungan itu, Persatuan Belia Wawasan Silam yang dipimpin oleh Abd Hamid Harun @ Andika mengambil langkah proaktif dengan menyampaikan bantuan alat tulis dan buku latihan kepada pelajar Tahun Satu hingga Tahun 6 bagi anak daerah Kunak khususnya anak yatim dan golongan asnaf.
Abd Hamid yang juga seorang aktivis masyarakat menghulurkan bantuan itu sebagai tanda keprihatinan kepada hampir 300 penerima terdiri dari golongan asnaf, anak yatim piatu dan golongan miskin.
“Pada mulanya aktiviti ini hanya disiarkan di grup whatsApp ,facebook dan media sosial yang lain,tetapi apabila aktiviti itu menjadi viral, ia menjadikan program ini menjadi bualan hangat di media sosial dan di kalangan masyarakat.
Menurutnya, pihaknya menerima permohonan daripada pelbagai kampung dan sekolah dari daerah Kunak yang terdiri daripada pelbagai suku kaum yang ada di Kunak.
Katanya, inisiatif ini adalah menggunakan dana sendiri yang didapati dari sedikit keuntungan daripada perniagaan untuk dikongsi kepada masyarakat memerlukan.
Abd Hamid berkata, program ini adalah program tahunan namun tidak dapat dilaksanakan selama dua tahun berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19.
“Alhamdulillah, tahun ini program ini dapat dilaksanakan oleh Persatuan Belia Wawasan Silam untuk menyantuni dan memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

HULUR BANTUAN…Abd Hamid menyampaikan bantuan alat tulis kepada golongan asnaf di Kunak.
Jelasnya, program itu diadakan setiap pembukaan sesi persekolahan bertujuan untuk meringankan bebanan di kalangan ibu bapa.
“Moga dengan adanya bantuan ini , ia mampu melahirkan pelajar menjadi manusia yang berguna kepada keluarga,masyarakat dan sesama insan.
“Kita berharap anak-anak yang hadir di sini, satu hari nanti mereka akan menjdi insan yang berbakti dan berguna pada semua dan menjadi insan prihatin pada sesama,” katanya.