KOTA KINABALU: Kerajaan digesa untuk membenarkan industri bebas kluster di Sabah untuk segera beroperasi semula dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Membuat gesaan itu, Datuk Johnny Mositun selaku penasihat pemain industri spa dan kesihatan berkata, kes baharu setiap hari berkurangan menjadi sekitar 200 sehari di negeri ini, mungkin sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan untuk melaksanakan kelonggaran SOP di Sabah.
“Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa operasi atau pembukaan semula sektor ekonomi dengan pematuhan SOP yang ketat akan mencetuskan kluster baharu.
“Mungkin, kerajaan sekarang harus memperkenalkan langkah-langkah baharu dengan membenarkan majikan yang mematuhi SOP ditetapkan untuk meneruskan operasi perniagaan sepenuhnya.
“Saya percaya perjuangan memerangi COVID-19 bukan sahaja melaksanakan penutupan operasi perniagaan, malah ianya benar-benar merugikan majikan, pekerja, rakyat dan negara. Semua orang dalam kesukaran…anda lihat banyak hotel dan premis perniagaan ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Johnny berkata, walaupun para pemain industri memahami tujuan sebenar pelan pemulihan empat fasa dilaksanakan untuk mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini, namun kepentingan komuniti perniagaan dan masyarakat juga harus dipertimbangkan.
“Sebab itu kami dengan rendah hati meminta kerajaan untuk membenarkan beberapa sektor ekonomi bukan penting beroperasi semasa PKP kerana sekatan pergerakan penuh mempunyai kesan buruk dan boleh melenyapkan pemain industri untuk selamanya,” katanya.
Menegaskan tiada kluster direkodkan daripada sektor spa dan kesihatan, Johny berkata, mereka telah mematuhi SOP yang ketat bahkan lebih banyak mengambil langkah pencegahan keselamatan untuk meminimumkan risiko penularan.
Sehubungan itu, Johny menyokong penuh pendirian Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor dan keputusan kerajaan negeri dalam melaksanakan kelonggaran SOP di negeri ini.
Hajiji dipetik berkata bahawa aktiviti sosial dan ekonomi termasuk makan di restoran, kedai kopi dan restoran di premis hotel akan dibenarkan di Sabah.
Menurut Hajiji, aktiviti ekonomi itu juga meliputi kedai gunting rambut dan gerai di tepi jalan yang menjual sayur-sayuran, ikan dan buah-buahan.
Justeru, Johnny berharap Sabah akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada pertengahan bulan ini.