Bengkel Pemindahan Ilmu PPIB UMS Perkasa Kearifan Etnik Long Pasia, Long Mio

PESERTA ...Sebahagian peserta bengkel maya.

Oleh HENRY BATING

KOTA KINABALU: Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) akan terus mendukung program berbentuk pemindahan ilmu untuk melestari budaya dan tradisi masyarakat berbilang etnik di Sabah.

Dekan PPIB Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Lai Yew Meng berkata pemindahan ilmu dan libat sama dalam setiap penyelidikan penting dilakukan untuk memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

DR LAI YEW MENG

“Kita akan terus mendukung aspirasi libat sama berbentuk pemindahan ilmu sebagai salah satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat,” katanya.

Dr Lai berkata demikian ketika merasmikan penutupan Bengkel Buek Lundayeh secara maya.

BENGKEL …. Antara segmen bengkel dalam bahasa Lundayeh.

Program libat sama itu merupakan aktiviti pemindahan ilmu yang julung kali dilaksanakan kalangan penyelidik PPIB, UMS bersama masyarakat Kg Long Pasia dan Kg Long Mio, Sipitang.

Bengkel dua hari itu berjaya menarik penyertaan 40 peserta di mana salah satu pengisian menarik ialah kuiz yang dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Lundayeh.

Pengerusi Penganjur Dr Kavitha Ganesan berkata bengkel itu diadakan sebagai sebahagian aktiviti penyelidikan di bawah geran Kementerian Pengajian Tinggi (FRGS0497/2018) yang turut melibatkan geran-geran penyelidikan UMS.

Menurut Dr Kavitha, melalui geran tersebut, penyelidikan berkaitan sastera lisan dijalankan lalu diterapkan dalam bengkel menerusi kaedah perkongsian pandangan tentang cerita legenda, pantun, tarian dan muzik tradisional.

Perkataan ‘buek’ dari bahasa Lundayeh bererti sastera lisan dan frasa ‘Buek Lundayeh’ bermaksud Sastera Lisan Etnik Lundayeh.

KOLEKSI …. Antara koleksi sastera lisan Lundayeh

Dalam bengkel interaktif itu, kalangan peserta yang turut melibatkan generasi muda, diuji kefahaman tentang budaya dan tradisi etnik Lundayeh melalui pelbagai aspek yang merangkumi bahasa, sastera lisan, tarian dan muzik.

Beberapa siri ceramah yang telah disampaikan para penyelidik UMS berjaya merangsang reaksi kalangan peserta yang sekali gus menunjukkan kesedaran mereka tentang warisan tradisi masyarakat Lundayeh.

KESENIAN … Segmen kesenian Lundayeh

Melvin Darius, seorang guru yang turut mengikuti bengkel itu menyifatkan program berkenaan telah membuka ruang kepada kalangan generasi muda etnik Lundayeh untuk mempelajari tradisi leluhur mereka yang kian pudar.

Siri pertama pemindahan dan perkongsian ilmu menerusi Bengkel Buek Lundayeh 2021 itu dilaksanakan dengan jayanya bersama sekumpulan Penyelidik dari PPIB UMS 26-27 Ogos lalu.

Bengkel berunsur pemindahan ilmu berdasarkan upaya menanam kesedaran tentang tradisi Lundayeh itu telah dijalankan melalui sokongan dari pihak pentadbiran PPIB, UMS dengan kerjasama penuh penduduk dari dua kampung tersebut.

 

scroll to top