Beri Institut Memandu Kebenaran Beroperasi, Gesa PKR Labuan

SIMSUDIN SIDEK

Oleh HENRY BATING

LABUAN: Institut memandu dan latihan merupakan antara perkhidmatan yang terkesan dan tidak dibenarkan beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga Labuan memasuki Fasa 4.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Labuan Simsudin Sidek berkata, pelbagai sektor ekonomi telah dibenarkan beroperasi dalam kadar 100 peratus namun perkhidmatan tersebut tetap dikecualikan.

“Larangan beroperasi sektor tersebut mengakibatkan pemberhentian pekerja termasuk kemungkinan penutupan institut memandu,” katanya.

Simsudin menegaskan, tenaga pengajar memandu juga bukan menerima gaji tetap tetapi mengikut jumlah jam bekerja.

Simsudin menggesa pihak berkuasa di sini agar dapat mempertimbangkan untuk memberi kebenaran terhadap institut memandu beroperasi dengan kadar segera.

“Jika kerajaan ingin menyamaratakan pembukaan institut memandu dan latihan di seluruh negara, maka apakah makna status Labuan mencapai imuniti kelompok serta Fasa 4 jika terdapat lagi beberapa sektor yang tidak dibenarkan beroperasi,” ujar Simsudin.

Seterusnya Simsudin mempersoalkan, adakah kerajaan sedar bahawa penutupan tersebut telah memberi kesan besar kepada masyarakat khususnya dibkalangan belia di negara kita?

Jelasnya, pada masa ini ramai belia menunggu untuk menduduki ujian, menghadiri ceramah serta latihan.

Menurut Simsudin, tauliah memandu dapat membuka peluang pekerjaan kepada belia dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan aplikasi.

Namun penutupan operasi institut tersebut tidak dapat membantu mewujud peluang baharu perkhidmatan penghantaran khususnya bagi kalangan yang terlibat dalam pemberhentian pekerja.

Menurut Simsudin, pihaknya difahamkan Majlis Keselamatan Negara telah memberi kebenaran tetapi keputusan pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia bercanggah dengan panduan dan SOP Fasa 4 yang telah dikeluarkan.

scroll to top