TAWAU: Kerajaan Pusat diharapkan dapat memberikan perhatian sewajarnya terhadap kadar vaksinasi rendah di Sabah memandangkan Perdana Menteri baharu sedar dengan kelemahan proses berkenaan.
Mantan Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, baru-baru ini Perdana Menteri menyatakan Sabah mempunyai kadar vaksinasi paling rendah dalam negara ini dan satu usaha wajar perlu dilakukan untuk mempercepatkan proses berkenaan.
“Kita memuji perhatian diberikan Perdana Menteri kepada Sabah, kita berharap keadaan akan bertambah baik selepas ini.
“Pentadbiran sebelum ini mengabaikan sesetengah aspek dalam pengurusan pandemik di Sabah seperti bekalan vaksin COVID-19 yang tidak adil kepada negeri ini.
“Berbanding Lembah Klang dan Labuan yang kini sudah mencapai 90 peratus kadar vaksinasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, Sabah layak mendapat layanan sama rata khususnya bantuan dalam sektor ekonomi dan sumber kerana negeri ini adalah rakan setaraf dengan Persekutuan Malaysia.
Ahli Parlimen Tawau itu menjelaskan, kini kadar vaksinasi terhadap populasi dewasa di Sabah sudah melebihi 40 peratus dan ini adalah sesuatu yang baik.
Bagaimanapun katanya, kerajaan Pusat perlu membuktikan keikhlasan dalam perhatian yang diberikan kepada Sabah khususnya memperkasakan kemudahan kesihatan.
Katanya, tiada siapa yang boleh nafikan pengurusan kerajaan dalam pandemik ini telah mendedahkan beberapa kelemahan dalam sistem kesihatan serta kemudahan perubatan di Malaysia khususnya Sabah.
Christina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api berkata, dengan perkembangan pandemik di negara ini, kekurangan persediaan untuk berhadapan dengan musibah itu menyebabkan kegagalan mengawal penularan COVID-19, khususnya di Sabah.
“Kekurangan wad, bekalan oksigen dan sebagainya di hospital termasuk kakitangan perubatan bukan sahaja di bandar utama tetapi juga daerah-daerah di Sabah.
“Kita dapat melihat penutupan sementara perkhidmatan klinik pakar di Queen Elizabeth Hospital I pada Julai lepas dan Queen Elizabeth Hospital II pada Ogos.
“Kita tidak pernah mempunyai gangguan sebesar ini dalam sejarah perkhidmatan perubatan di Sabah,” katanya.
Katanya, berapa lama lagi keadaan ini akan berterusan kerana rakyat juga berhadapan dengan penyakit kronik lain seperti buah pinggang, kanser dan sebagainya.
“Sabah tidak seperti Malaya, anda boleh tutup satu atau dua buah klinik pakar di Lembah Klang kerana di sana mempunyai banyak lagi kemudahan pakar kesihatan awam dan swasta,” katanya.