Bernas komited bangunkan SMART SBB di Sabah

PENYERAHAN dokumen Akujanji Pelaksanaan Program Smart SBB Skim Jawi Jawi oleh Pengerusi Kumpulan Pengguna Air (KPA) Kg Jawi-Jawi, Adlin Mohd kepada Pengurus Kanan, Jabatan Pengurusan Konsesi Bernas, Hervian Kirman (dua kanan).

KOTA BELUD: Padiberas Nasional Berhad (Bernas) amat komited dalam mengukuhkan hala tuju strategik bagi membangunkan Program SMART Sawah Berskala Besar (SBB).

Usaha itu dilihat selari dengan aspirasi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam mengukuhkan kelestarian industri khususnya pembangunan pertanian.

Sebagai syarikat peneraju tunggal dalam membangunkan SMART SBB di Sabah, BERNAS kini melebarkan kawasan sawah sehingga 45 hektar di Kampung Jawi-Jawi di sini dengan penglibatan seramai 40 pesawah tempatan.

Ketua Blok Skim Jawi-Jawi Kota Belud Rajumin Jamrin menyifatkan Program SMART SBB memberi pelbagai manfaat kepada para pesawah tempatan.

Katanya, melalui program itu, ia membantu pesawah untuk mengusahakan sawah secara berpasukan dan lebih sistematik.

“Selain itu, BERNAS turut membimbing kami dalam penetapan Jadual Kerja Ladang yang lebih teratur yang mampu mengurangkan risiko kepada tanaman serta mengelakkan pembaziran input pertanian.

“Langkah ini dapat membantu kami dalam meningkatkan hasil padi serta pendapatan kami,” katanya pada majlis Pelancaran Program SMART SBB di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Rajumin dan pesawah lain begitu teruja dengan penggunaan teknologi dron yang digunakan bagi kawasan ini.

“Penggunaan teknologi dron memberi hasil semburan baja dan racun yang lebih sekata meliputi seluruh kawasan ladang dalam tempoh masa yang jauh lebih singkat, mengurangkan penggunaan tenaga dan mengoptimakan input serta kos.

“Ini semestinya memudahkan urusan kami dalam pengurusan ladang dan memberi kami masa terluang untuk melakukan kerja-kerja harian lain,” katanya.

Antara matlamat utama SMART SBB BERNAS adalah untuk membina sistem pertanian dan jaringan pesawah yang lebih dinamik.

Ia sekali gus dapat membantu pesawah dalam meningkatkan pendapatan mereka melalui peningkatan hasil padi yang berkualiti.

Dr Ronald Kiandee merasmikan papan tanda Program Smart SBB Skim Jawi-Jawi Kota Belud.

Pesawah di kawasan ini telah didedahkan kepada pelbagai latihan pertanian bagi memperkasakan lagi pengetahuan serta kemahiran mereka.

Ini termasuklah pengamalan teknologi terkini seperti dron dan jentera yang bersesuaian dalam pengurusan tanaman padi serta Jadual Kerja Ladang yang juga kaedah amalan pertanian tepat.

SMART SBB di Kota Belud adalah program kolaborasi di antara BERNAS, Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah serta agensi kerajaan lain seperti Kawasan Pertanian Pembangunan Bersepadu (IADA) Kota Belud, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pertubuhan Peladang Kawasan, dan Jabatan Pertanian Sabah.

scroll to top