Bersatu Sabah akan dibina semula – Ronald Kiandee

KOTA KINABALU: Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menegaskan bahawa parti itu akan membina semula Bersatu Sabah setelah pemimpin negeri diketuai bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bertindak keluar parti pada Sabtu.

Ahli Parlimen Beluran itu berkata beliau tidak akan mengikut jejak langkah Hajiji serta kumpulannya dan menjelaskan tindakan keluar parti oleh kumpulan itu tidak akan menjejaskan Bersatu Sabah terutama di peringkat akar umbi.

“Terpulang kepada mereka (pemimpin keluar parti) untuk memberikan apa-apa alasan (keluar parti) tetapi ahli parti (Bersatu) di Sabah berhak membuat keputusan mereka sendiri. Terpulang kepada mereka (ahli Bersatu Sabah) untuk pilih platform yang mana.

“Saya tegaskan juga di sini Bersatu akan kekal di Sabah dan kita akan binanya kembali,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Hari ini Hajiji yang juga Ketua Menteri dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berserta pemimpin Bersatu Sabah secara sebulat suara memutuskan untuk meninggalkan parti itu tetapi terus kekal di bawah GRS.

GRS, yang sebelum ini terdiri daripada Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir Sabah.

Ronald bagaimanapun enggan mengulas mengenai status Bersatu dalam GRS.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada sidang media di Kuantan, Pahang, hari ini kesal dengan Bersatu Sabah yang mengambil keputusan untuk keluar daripada parti itu.

Saifuddin yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Pahang berkata Sabah belum meluluskan Akta Anti Lompat Parti, justeru mereka yang terlibat masih boleh mengambil keputusan sedemikian.

“Saya kesal tindakan dilakukan teman-teman di Sabah ini kerana mereka dahulunya memenangi kerusi itu atas nama Bersatu tetapi saya difahamkan Bersatu Sabah masih wujud kerana ada Ahli-Ahli Parlimen dan pimpinan yang akan meneruskan perjuangan parti di negeri itu. Di Pahang saya ingin tegaskan Bersatu tetap kekal dan utuh serta kita tidak berganjak dari segi sokongan kepada parti,” katanya.

Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam kenyataan pula berkata beliau yakin masih terdapat ahli-ahli Armada di Sabah yang kekal dengan Bersatu dan akan membina semula Bersatu di negeri itu.

Beliau juga menegaskan tujuan penubuhan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) tidak akan bertindak untuk mencabul kehormatan hak orang bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing secara aman serta harmoni.-BERNAMA.

scroll to top