Bicara Aspirasi Merdeka Disertai 100 Pelajar Sekolah Menengah Di Labuan 

POSTER Bicara Aspirasi Merdeka.

Oleh HENRY BATING

LABUAN: Program Aspirasi Merdeka hari ini merupakan anjuran LABUANfm setiap tahun untuk menyemarak sambutan kemerdekaan.

Pengarah Penyiaran Labuan Aminah Samsudin Mohd berkata, menerusi program tersebut, usaha dijalankan untuk menyemarak semangat patriotik, cintakan negara dan memupuk perpaduan kaum dan etnik menerusi kerjasama erat semasa sambutan.

“Kali ini program Aspirasi Merdeka dilaksanakan dalam norma baharu tanpa perlu turun padang namun tetap berperanan menyampaikan maklumat dan hasrat kerajaan menyemarak sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia,” katanya.

Aminah menjelaskan, program tersebut merupakan antara tanggungjawab sosial LABUANfm kepada masyarakat bagi memangkin warga Labuan agar terus memperingati peristiwa bersejarah Negara mencapai kemerdekaan.

Menurut Aminah, salah satu pengisian adalah Bicara Aspirasi Merdeka yang disertai 100 pelajar sekolah menengah di Labuan secara dalam talian.

Dua panel jemputan menjayakan program yang terdiri daripada Dr. Nordi Achie selaku Pensyarah Kanan Pusat Penataran ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan dengan tajuk ‘Merdekakah Kita’.

Seorang lagi ialah Mahathir Abdul Hamid, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Korporat Perbadanan Labuan bertajuk ‘Menarik dan Tertarik’.

Kata Aminah, kalangan peserta berpeluang mendengar penerangan ringkas berkenaan Kerjaya Dalam Pelancongan daripada Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Labuan Nor Hidayah Mohd Nor.

Aminah berharap, makna kemerdekaan dapat dihayati oleh kalangan remaja agar terus berusaha mengekal nikmat kemerdekaan dan bersyukur atas keamanan dan kemakmuran yang dikecapi sehingga kini.

scroll to top