Oleh ABD NADDIN HJ SHAIDDIN
KOTA KINABALU: Kawasan Pertumbuhan Asean Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA) perlu memberikan manfaat untuk merubah kehidupan masyarakat di kawasan luar bandar hingga ke pulau-pulau terpencil di rantau ini.
Utusan Khas Sabah ke BIMP-EAGA, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia berkata, perkara yang perlu difikirkan dalam apa saja perancangan yang dibuat ialah faedah yang boleh diberikan oleh BIMP-EAGA kepada kehidupan rakyat yang miskin yang masih ketinggalan di kawasan BIMP-EAGA.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup pada Persidangan Dalam Talian Tenaga BIMP-Eaga dan Pameran (BECE) yang pertama,anjuran Midas Events Management .
Katanya, seperti yang ditekankan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dalam ucapan alu-aluannya, strategi sektor Tenaga dan Infrastruktur Tenaga BIMP EAGA haruslah berpusat pada mempromosikan penggunaan sumber tenaga sub-wilayah yang optimum untuk meningkatkan akses tenaga terutama di kawasan luar bandar, mengoptimumkan penggunaan sumber tenaga domestik dan meningkatkan keselamatan tenaga serantau.
Menurutnya, dalam visi BIMP-EAGA 2025 menyatakan bahawa peranan yang dimainkan sektor swasta sebagai salah penggerak pertumbuhan di rantau ini.
Kerajaan pusat juga memainkan peranan proaktif dalam BIMP EAGA dalam meningkatkan kerjasama yang memberi faedah kepada masyarakat tempatan.
Pandikar berkata, jika meneliti ucapan Ketua Menteri yang mengatakan bahawa selepas 27 tahun kewujudan BIMP-EAGA lebih banyak perlu dilakukan dan dibaca bersama dengan komitmen Kerajaan Pusat sebagai pemangkin pertumbuhan di rantau ini, mungkin lebih bermanfaat jika kita melihat industri tenaga ini melalui perspektif berbeza iaitu mencari industri tenaga baru yang boleh memberi faedah kepada masyarakar luar bandar di kawasan BIMP EAGA.
Menurutnya, apa yang difikirkan Ketua Menteri adalah membantu syarikat yang melabur dalam projek yang akan membawa banyak manfaat langsung kepada rakyat yang masih di belenggu kemiskinan di kawasan BIMP EAGA .
“Baru-baru ini, saya meminta agar diberi taklimat oleh Petronas Sabah kerana saya mahu tahu dan memahami kedudukan mereka dan perkembangan terkini. Seperti mana yang kita tahu Petronas dan kerajaan Sabah memliki hubungan jangka panjang dalam bisnis minyak dan gas.
Dalam taklimat itu, saya tidak terlalu terkejut mengenai kemajuan yang diicapai oleh Petronas sebagai sebuah syarikat konglomerat.
Tetapi apa yang penting bagi saya secara peribadi dan sebagai Utusan Khas Sabah ke BIMP EAGA, ialah Petronas hendaklah memberi faedah langsung kepada masyarakat miskin yang tinggal di pulau-pulau terpencil dan kawasan luar bandar di Sabah.
Pandikar yang lahir di Kota Belud berkata kawasan pelantar minyak Petronas terletak hanya satu jam dari kampungnya di Kampung Rampayan dan hanya kira-kira 15 minit dari Pulau Mantanani.
“Jika dilihat dari faktor jarak antara pelantar minyak Petronas dengan Pulau Mantanani, kita sudah pasti berharap kewujudan telaga minyak itu mampu memberi manfaat langsung kepada masyarakat sekitar tetapi ia tidak berlaku.
Katanya, beliau bersetuju dengan pendapat Ketua Menteri yang mahukan agar pelabur mengadaptasi strategi perniagaan baharu dengan tidak hanya melihat Sabah baik untuk industri minyak dan gas tetapi bagus juga untuk industri lain seperti pelancongan.
Sabah memiliki destinasi pelancongan di mana eko pelancongan adalah penyumbang terbesar ekonomi Sabah.
Sabah memiliki kepelbagaian eko sistem hidupan marin dan habitat hidupan liar, memiliki tapak warisan dunia seperti Gunung Kinabalu dan syurga penyelaman seperti Pulau Sipadan Sabah juga memiliki Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan banyak lagi.
Katanya, salah satu hala tuju Sabah Maju Jaya di bawah kepimpinan Ketua Menteri ialah merancakkan pembangunan eko pelancongan kerana ia memberi manfaat langsung kepada masyarakat luar bandar.
Menurutnya, laluan pertumbuhan BIMP-EAGA hingga 2025 dipandu oleh teras strategi jangka panjang untuk meningkatkan hubungan di dalam dan di luar BIMP-EAGA bagi menjadikan wilayah ini sebagai pengeluar makanan di Asean dan seluruh Asia.
Sabah memainkan peranan penting dan memiliki posisi strategik kerana terletak di tengah tengah kawasan BIMP EAGA.
Katanya, pemindahan ibu negara Indonesia ke tanah besar Kalimantan dijangka memberikan kesan positif terhadap pembangunan dan ekonomi di wilayah Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata sebagai utusan khas, beliau sedia memberikan kerjasama penuh kepada sektor swasta untuk memainkan peranan mengurangkan jurang pembangunan di kawasan BIMP EAGA.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pengerusi penganjur Dolly Jimayol dan jawatankuasanya atas kejayaan menganjurkan persidangan BECE 1.
Selain itu, ia juga mahukan agar mereka membantu mempromosikan BIMP- EAGA sebagai destinasi pelancongan utama; memastikan pengurusan sumber semula jadi yang mampan, dan mempromosikan hubungan masyarakat melalui sosial-budaya dan pendidikan.