Bobbey Suan Angkat Sumpah Ahli Dewan Negara

ANGKAT SUMPAH…Datuk Bobbey Suan mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara

KUALA LUMPUR:  Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Nabawan  Datuk Bobbey  Suan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara dihadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim di Bangunan Parlimen hari ini.

“Dengan pengalaman saya sebagai ADUN selama empat penggal, juga pernah dilantik sebagai Pembantu Menteri selama empat penggal, saya fikir pengalaman yang baik ini harus saya terjemahkan  di bawah  kepimpinan baharu Kerajaan Perikatan Nasional di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin,” katanya.

Beliau merakamkan penghargaan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana berkenan membawa usul cadangan pelantikan senator ini dan kemudian disokong oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah dan seterusnya Speaker DUN Sabah, Ahli-ahli Jemaah Menteri serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri kerana memiliih beliau sebagai Ahli Dewan Negara yang baharu.

“Sesungguhnya saya amat bersyukur atas pelantikan ini,” katanya kepada media kelmarin.

“Dengan perubahan kepimpinan baharu Kerajaan Negeri, pastinya hubungan dengan Kerajaan Pusat akan lebih kukuh dan ini sudah tentu akan memberi jaminan kepada rakyat bahawa nasib mereka akan terbela sebaik mungkin,” katanya.

Bobbey bertekad akan menyuarakan dan memperjuangkan pelbagai isu permasalahan rakyat dan negeri Sabah mengikut keadaan semasa dan memberi fokus kepada semua yang  terkesan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga serta sokongan rakan-rakan yang tidak berbelah bahagi di atas pelantikan itu dan berharap semua dilindungi Tuhan yang Maha Kuasa dan negeri dan negara akan terus maju jaya dan berdaya saing.

scroll to top