Bomba Cari Lelaki Hilang Dalam Hutan Di Tuaran

CARI ...Bomba mengaktifkan operasi SAR seorang lelaki dilaporkan hilang di kawasan hutan berhampiran Kampung Giling, Tuaran, sejak 11 Sept lepas.

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan hutan berhampiran Kampung Giling, Tuaran, sejak 11 Sept lepas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi jabatan itu Misran Bisara ketika dihubungi Bernama berkata operasi itu diaktifkan sejurus pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 12.22 tengah hari kelmarin.

Beliau berkata lelaki berkenaan, Tuin Lohohan, 32, hilang di kawasan hutan dan menurut ahli keluarganya kali terakhir beliau dilihat ialah pada 10 pagi, 11 Sept.

“Tujuan mangsa masuk ke hutan tidak diketahui dan sehingga hari ini mangsa belum pulang ke rumah,” katanya

Operasi yang turut disertai Unit Anjing Pengesan (K9) Balai Bomba Penyelamat Tuaran itu sedang giat dijalankan dan akan ditangguhkan apabila keadaan gelap serta disambung semula hari ini, katanya.-Bernama.

scroll to top