Bot dinaiki 6 PTI bersama juragan diusir

USIR ... Bot dinaiki 6 PTI bersama juragan diarah patah balik ke negara jiran.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya menghalang cubaan sebuah bot dari negara jiran yang membawa pendatang tanpa izin (PTI) masuk ke daerah ini di kawasan perairan Aji Kuning, Pulau Sebatik, malam kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Tawau DSP Ridzauddin  Selamat berkata, pihaknya berjaya menahan sebuah bot dijuragani oleh seorang lelaki yang membawa enam orang penumpang berumur antara 25 hingga 40 tahun terdiri dua lelaki dewasa dan empat wanita dewasa tidak mempunyai sebarang dokumen.

“Juragan bot diarahkan berpatah balik  dan diiring keluar dari perairan negara serta diarahkan supaya tidak memasuki perairan negara selaras dengan kehendak undang-undang Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Ridzauddin berkata, pihaknya menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat dalam mengekang jenayah terutamanya jenayah rentas sempadan melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 013-9391197.

Selain itu, orang ramai juga boleh berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan.

scroll to top