KUDAT: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan sebuah bot pam dipercayai melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Pulau Banggi pagi kelmarin.
Pegawai Pemerintah PPM Kudat ASP Cyrill Douglas berkata, pihaknya yang melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan laut Pulau Banggi telah mengesan sebuah bot pam yang mencurigakan.
“Menyedari akan kehadiran polis, suspek melarikan diri ke kawasan cetek dan meninggalkan bot berkenaan.
“Hasil pemeriksaan dalam ruang perahu menjumpai peralatan yang dipercayai digunakan untuk mengebom ikan,” katanya menambah, nilai rampasan dianggarkan RM6,615.
Beliau berkata, rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Cyrill berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Kawalan PPM Wilayah 4 Sabah di talian 013-9391197.