Buang sikap tunggu Jalur Gemilang percuma

FLAG OFF...Hadzlan (lima dari kiri) menyempurnakan upacara pelepasan Konvoi KMKM 2022.

PAPAR:  Buang sikap menunggu dan mengharap pemberian Jalur Gemilang percuma, kata Pegawai Daerah, Hadzlan Jablee.

Sebaliknya, masyarakat perlu mencari inisiatif untuk menyemarakkan lagi Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah, sekali gus mengubah persepsi hanya agensi kerajaan yang berperanan meraikan bulan kebangsaan setiap bulan Ogos.

“Saya menyeru kepada seluruh masyarakat khususnya di daerah ini agar mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing tidak kira di pejabat, rumah atau gerai mahupun kenderaan masing-masing bagi menzahirkan semangat bersyukur kita sebagai rakyat malaysia,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan masyarakat agar menerapkan mentaliti untuk memartabatkan identiti negara termasuk sikap lebih peka terhadap Jalur Gemilang.

“Sekiranya ternampak Jalur Gemilang yang telah lusuh atau koyak, ambillah inisiatif untuk membeli dan menukarkannya dengan yang baharu atau maklumkan kepada pemilik premis agar Jalur Gemilang tersebut dapat diturunkan dan diganti baharu.

“Marilah kita bertekad untuk menerap mentaliti dan menyuntik sikap peduli dalam kalangan masyarakat supaya memandang tinggi dan menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang identiti negara yang gah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) 2022 Peringkat Daerah Papar.

Pada majlis tersebut, Hadzlan yang diiringi Nadzerah, Ketua Polis Daerah, DSP Kamarudin Ambo Sakka, Pegawai Pendidikan Daerah, Suhaimi @ Suhaini Matshah dan PPM Limbahau, Datuk Johny Mositun melekatkan jalur gemilang di kenderaan awam sebelum menyempurnakan upacara pelepasan Konvoi KMKM 2022 di Padang Pekan Papar.

Konvoi KMKM 2022 diketuai Pengarah Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah itu disertai 50 orang dengan 35 kenderaan daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk jabatan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-Komm) dan dijadualkan menjelajah ke daerah Beaufort, Daerah Kecil Membakut dan Kuala Penyu untuk edaran Jalur Gemilang. – PENERANGAN.

scroll to top