Buaya seberat 150kg terperangkap dalam parit berjaya ditangkap

ANGGOTA APM bersama buaya seberat 150 kilogram yang berjaya ditangkap di dalam parit pada Ahad.

PAPAR: Seekor buaya seberat 150 kilogram berjaya ditangkap selepas dipercayai terperangkap di parit sebuah kawasan tapak pembinaan di Taman Resident Prima Kinarut, di sini, pada Ahad.

Kehadiran reptilia itu disedari penduduk kira-kira jam 8 pagi selepas kebetulan melalui kawasan tapak pembinaan berkenaan.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.15 pagi daripada seorang penduduk.

Katanya, penduduk mendakwa melihat seekor buaya di dalam parit berhampiran pagar utama tapak pembinaan.

“Bimbang dengan keselamatan penduduk taman dan pekerja tapak pembinaan, penduduk terbabit terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan.

“Sebaik tiba di lokasi penemuan, operasi menangkap reptilia berkenaan terus dilakukan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, haiwan yang berjaya ditangkap itu dianggarkan sepanjang empat meter dengan berat 150 kilogram.

Katanya lagi, operasi ditamatkan pada 9.40 pagi sebaik buaya itu diserahkan kepada Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU).

scroll to top