Cadangan Pelaksanaan Sambutan 31 Ogos Diperhalusi

BINCANG ... Masidi (kiri) membincangkan Sambutan Hari Kebangsaan bersama Tun Juhar.

KOTA KINABALU: Cadangan pelaksanaan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri pada 31 Ogos ini akan diperhalusi.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, ia bagi menyesuaikan sambutan berkenaan dengan suasana pandemik yang melanda negara.

“Atas nasihat Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, kita akan memperhalusi cadangan berkaitan perjalanan program dalam situasi semasa kes Covid-19 di negeri ini.

“Pandangan dan nasihat yang diberikan oleh Tuan Yang Terutama Tun akan kita maklumkan kepada Kabinet sebagai panduan dalam membuat keputusan akhir bagaimana acara sambutan itu dilaksanakan nanti,” ujarnya.

Masidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri memaklumkan cadangan asal program adalah melibatkan 300 orang yang sudah melengkapkan vaksinasi serta membuat ujian calitan Covid-19.

KENANGAN … Masidi (dua dari kiri) dan rombongan bergambar kenangan bersama Tun Juhar (dua dari kanan).

“Pada cadangan asal, kita menetapkan kehadiran 300 jemputan sahaja bagi Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2021 dan perlu melengkapkan dua dos vaksin.

“Selain daripada syarat dua dos vaksin, para jemputan juga perlu menjalani saringan kesihatan sebelum hadir ke program tersebut bagi memastikan mereka benar-benar dalam keadaan yang sihat.

“Perjalanan acara sambutan juga dihadkan tidak lebih daripada tempoh satu jam,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, pada Rabu.

Menurutnya, tujuan kunjungan adalah bagi memberikan taklimat mengenai sambutan berkenaan serta meminta pandangan bagi pelaksanaan program dalam fasa pandemik ini.

Tambah Masidi, jumlah kes yang mencecah 2,000 angka pada 17 Ogos perlu diambil perhatian oleh masyarakat dan melihat ia sebagai isyarat untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan jangkitan.-Penerangan.

scroll to top