KOTA KINABALU: Cadangan Persatuan Sama Sabah (PSS) agar Yang Dipertua Majlis Gabungan Etnik Sabah (MAGEBS), Datuk Haji Abdullah Haji Sibil dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah menggantikan Tun Juhar Mahiruddin jika tempoh jawatannya tamat pada Disember tahun ini mendapat sokongan penuh daripada persatuan-persatuan etnik di negeri ini.
Timbalan Presiden Persatuan Momogun Rungus Sabah (SAMORA), Jose Modsinupu berkata cadangan itu adalah bersesuaian memandangkan Datuk Abdullah Sibil adalah seorang pemimpin yang berwibawa dan menunjukkan kepimpinan yang amat baik sepanjang beliau memimpin MAGEBS yang dianggotai oleh pelbagai etnik di negeri Sabah sejak 2016.

ABDULLAH YUSOF.
“Saya ingin memberi sokongan penuh terhadap cadangan PSS ini kerana ia adalah sesuatu yang amat wajar dan bersesuaian,” katanya.
Sementara itu, Mantan Penolong Setiausaha Agung Dewan Usahawan Bumiputera Negeri Sabah (DUBNS), Hazmaini Haz berkata cadangan untuk melantik Datuk Abdullah sebagai TYT Negeri Sabah menggantikan Tun Juhar sekiranya tempoh pelantikkannya tamat adalah sesuatu yang sangat bertepatan.
“Saya mengenali Datuk Abdullah sejak 2010 semasa penubuhan DUBNS sehingga kita. Sejak dari mula, saya tidak melihat apa-apa keburukan bahkan beliau sungguh inspirasi.
“Konsep Datuk ni mudah, tenang dan sabar, sentiasa memberi dan sentiasa ingat teman sahabat dan sentiasa membantu, kata Hazmaini yang juga mantan Bendahari PSS 2016-2019.

HAZMAINI HAD.
Bagi Presiden Pertubuhan Banjar Malaysia, Abdullah Yusof, cadangan untuk melantik Datuk Abdullah sebagai TYT Yang Dipertua Negeri Sabah selepas tempoh pelantikan Tun Juhar tamat wajar mendapat sokongan semua pihak.
“Datuk Abdullah yang saya kenal adalah seorang pemimpin yang kurang berpolitik. Beliau banyak terlibat dalam NGO dan sektor korporat sahaja,” katanya.
“Saya berharap beliau akan dilantik sebagai TYT Sabah jika sampai masanya kelak. Kami memberikan sokongan penuh kepada Datuk Abdullah, bukan saja kerana sikapnya yang ramah mesra, tidak pilih bulu, sentiasa berganding bahu, beliau juga adalah pemimpin yang berwibawa , berkebolehan kerana mempunyai kelayakan yang tinggi,” katanya.

JOSE MODSINUPU.
Selain itu kemampuan Datuk Abdullah memimpin Majlis Gabungan Etnik Sabah (MAGEBS) yang dianggotai kira-kira 34 etnik dan mampu membawa mereka duduk bersama dengan mesra membuktikan kewibawaan dan personaliti yang dimiliki beliau dalam kepimpinan.
Menurutnya, Datuk Abdullah sememangnya memiliki kelayakan dan pengalaman mencukupi untuk dilantik sebagai TYT Negeri Sabah selain sikapnya yang mudah didekati, tidak sombong dan mendekati rakyat tanpa banyak protokol.
Kami menyokong penuh cadangan PSS agar Datuk Abdullah Sibil dilantik sebagai TYT Negeri Sabah sekiranya tempoh pelantikan Tun Juhar tamat pada penghujung tahun ini, katanya.