CDERT Platform Terbaik Sebagai Persiapan Awal Hadapi Bencana

SIMBOLIK: Roslan (tengah) semasa menyempurnakan perasmian penutupan program CBDRM dan penubuhan CDERT Keluarga Malaysia Daerah Penampang, sambil disaksikan Pegawai Daerah Penampang Francis Chong (kiri).

Oleh MARIAYATI MURSIDI

PENAMPANG: Pasukan Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) adalah platform terbaik buat komuniti bagi membangunkan sebuah pasukan yang lebih proaktif dalam menghadapi sebarang kecemasan ataupun bencana.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Roslan Wahab berkata, selain dari memupuk semangat ukhuwah dan kerjasama kejiranan dalam komuniti, ia juga dapat dijadikan program atau aktiviti tahunan kepada masyarakat dan komuniti itu sendiri.

“Seperti sedia maklum, Daerah Penampang terdedah dengan bencana banjir terutamanya pada musim Monsun Timur Laut. Pada bulan Januari sehingga September tahun ini saja, Daerah Penampang mengalami banjir yang telah menjejaskan beberapa buah kawasan. 118 orang penduduk terjejas yang melibatkan 21 buah keluarga ditempatkan di tiga buah pusat pemindahan pada ketika itu.

“Sebagai salah satu simbolik komitmen dan sokongan terhadap perkhidmatan APM dalam pengurusan bencana di peringkat komuniti, APM ingin menubuhkan satu kumpulan yang berkemahiran dan sentiasa bersiap sedia menangani segala bentuk bencana iaitu pasukan CDERT Peringkat Komuniti.

“Ini juga adalah seiring dengan hasrat kerajaan dalam mewujudkan satu Pasukan Tindak Balas Kecemasan Peringkat Komuniti yang dijenamakan semula sebagai CDERT Keluarga Malaysia Daerah Penampang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan Program Community-Based Disaster Risk Management (CBDRM) dan Penubuhan Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) Keluarga Malaysia Daerah Penampang di Dewan Raya, Kg. Ramayah, Penampang pada Sabtu.

Justeru katanya, melalui penubuhan CDERT ini, diharap dapat memupuk semangat kerjasama dan kepekaan dalam kalangan komuniti terhadap sesuatu insiden mahupun bencana.

Jelasnya, pasukan CDERT ini mampu bertindak lebih awal untuk memberikan nasihat dan makluman awal dengan membuat pengungsian (pengosongan) kediaman atau bangunan sekiranya keadaan semasa menjadi lebih teruk sehingga ke proses pemindahan.

“Pasukan CDERT juga boleh membuka Bilik Gerakan Setempat bagi memudahkan penyaluran dan pengumpulan maklumat. Semua maklumat dan senarai talian hotline pasukan penyelamat dan kecemasan hendaklah disediakan di bilik gerakan berkenaan,” katanya.

Pada program CBDRM itu, seramai 40 orang khususnya dari 20 buah kampung antaranya Kampung Ramayah, Putaton, Kolopis, Tindai, Kampung Inobong, dan sekitarnya hadir dan menerima latihan daripada APM.

Program CBDRM ini adalah bagi memberi pendedahan awal kepada komuniti setempat terhadap pengurusan bencana negara serta tindak balas komuniti yang boleh dilakukan apabila terjadinya bencana di kawasan setempat sebelum pasukan penyelamat tiba.

Antara pengisian pada program berkenaan ialah Taklimat Pengenalan: Berkaitan MKN-20 & CDERT; Perkongsian Agensi: Pertolongan Cemas & ilmu Pertahanan Awam; Modul Latihan: Garis Waktu Bencana & Rajah Venn; dan Modul Latihan: Disaster Imigination Games (DIG).

Dalam pada itu, Roslan berharap agar semua pihak dapat memberikan sokongan kepada penubuhan pasukan CDERT.

“Ini adalah kerana, selain boleh menerapkan nilai dan budaya dalam konteks kesukarelawanan, pasukan ini juga adalah pasukan ‘first responder’ di lapangan dalam membantu mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda ketika sesuatu bencana bakal atau sedang berlaku,” katanya.

Beliau juga berharap penubuhan Pasukan CDERT Keluarga Malaysia Daerah Penampang ini dapat membantu bukan sahaja kepada peringkat komuniti, malahan dapat membantu agensi utama dalam menghadapi kecemasan mahupun bencana.

Turut hadir pada program berkenaan ialah Pegawai Daerah Penampang Francis Chong, ketua-ketua jabatan peringkat daerah, ketua-ketua pemimpin masyarakat serta ketua kampung.

scroll to top