KOTA KINABALU: Program Outreach Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) mampu membantu mencapai sasaran imuniti kelompok vaksinasi daerah ini.

WARGA EMAS … Salah seorang penerima vaksin yang berumur 83 tahun.
Menurut Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majunki, program yang dikelola beberapa agensi kerajaan itu diharap mampu mempercepatkan lagi capaian sasaran imuniti kelompok.
“Program sebegini merupakan langkah terbaik dalam membantu penduduk yang tinggal jauh di luar bandar mendapatkan vaksin Covid-19, sekaligus mempercepatkan capaian imuniti kelompok bagi daerah ini.
“Saya mengharapkan agar semua masyarakat yang tinggal di luar bandar agar bersama-sama hadir memberi kerjasama kepada pihak terlibat antaranya Jabatan Penerangan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pejabat Daerah Kota Marudu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Anggota Pertahanan awam (APM) yang sanggup datang ke kawasan luar bandar semata-mata untuk memberi vaksin,” katanya semasa ditemui media di Kg Teringai Laut.
Julita turut mengingatkan agar penduduk yang sudah divaksin agar sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian Covid-19.
“Kita menyeru kepada semua penduduk kampung agar terus menjaga SOP agar kita sama boleh mengurangkan jangkitan Covid-19, kepada mereka yang sudah divaksin dos pertama untuk sentiasa peka tarikh temujanji dos ke dua agar mereka tidak terlepas melengkapkan dua dos.

LAWAT … Julita (kanan) melawat pihak KKM menjalankan tugas yang di amanahkan.
“Saya juga difahamkan Pengerusi CITF daerah Kota Marudu, setakat hari ini, sebanyak 14 peratus penduduk daerah ini telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin, dan saya harap dengan kerjasama yang baik penduduk kampung, kita akan mencapai imuniti kelompok 80 peratus dalam masa terdekat,” tambah beliau.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Penerangan Sabah, Puan Nadzerah Abdullah, Pegawai Daerah, Alexander Yong, Pegawai Kesihatan, Dr Siti Nadrah dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong, William Lampaki.-Penerangan.

CERMAT … Jururawat bertugas memberikan suntikan vaksin dengan cermat.