Cubaan Seludup Keluar 1,600 Liter Petrol Bersubsidi, Dua Tong Gas Gagal

RAMPAS: Anggota polis marin menunjukkan beberapa jerikin berisi minyak petrol yang dirampas.

SEMPORNA: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan kegiatan empat lelaki warga asing yang cuba menyeludup keluar 1,600 liter minyak petrol dan tong gas ke negara jiran dalam dua siri tangkapan di perairan Pulau Bohayan, di sini.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superintendan Mohd Yacob Murad berkata, dalam kejadian sekitar jam 11 malam itu pasukannya telah mengesan pergerakan sebuah bot laju menuju ke arah negara jiran.

Menurutnya, suspek yang menyedari kehadiran pasukan keselamatan bertindak memecut laju bot mereka, namun berjaya dipintas dan diperiksa.

Katanya, hasil pemeriksaan awal, terdapat dua lelaki warga asing berumur 35 dan 38 tahun berada di dalam bot tersebut.

“Kedua-dua suspek itu juga didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan telah menemukan 33 gelen berkapasiti 25 liter berisi minyak petrol bersubsidi disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran.

Dalam pada itu katanya, pihaknya turut mengesan pergerakan sebuah lagi bot laju di lokasi yang sama kira-kira setengah jam selepas tangkapan pertama.

Menurut Mohd Yacob, bagaimanapun tindakan suspek yang bertindak melarikan diri dengan memecut laju bot mereka berjaya dipintas untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang juragan dan pembantunya masing-masing berumur 36 dan 21 tahun di dalam bot berkenaan.

Katanya, kedua-dua suspek terbabit merupakan warga asing dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot suspek telah menemui minyak petrol bersubsidi sebanyak 775 liter dan dua tong gas dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran,” katanya.

Mohd Yacob berkata kesemua suspek dan barang rampasan termasuk dua buah bot berserta enjinnya itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, jumlah keseluruhan kedua-dua rampasan itu dianggarkan bernilai lebih RM20,000, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta KAstam dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,”katanya.– ADMIN

scroll to top