Cubaan seludup keluar barang kawalan gagal

TANGKAPAN: Suspek ditahan bersama barang kawalan yang cuba diseludup.

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup barang kawalan tanpa permit di kawasan laut Pulau Berhala, di sini pada awal pagi Sabtu.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Sandakan DSP Rusdin Banin berkata, pihaknya menahan sebuah kapal ikan disyaki membawa barang kawalan tanpa sebarang permit daripada pihak berkuasa di kawasan laut berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kapal suspek bergerak dalam keadaan mencurigakan di perairan laut berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kapal menjumpai barang kawalan pelbagai jenis seperti beberapa liter minyak diesel, minyak petrol, beberapa kotak tepung gandum, minyak masak dan tong gas LPG,” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kapal ikan yang digunakan berjumlah RM236,006.40.

“Juragan seorang lelaki berumur 35 tahun bersama barang rampasan terbabit dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Rusdin berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197.

scroll to top