Cubaan Seludup Minuman Keras Gagal

PERIKSA: Salah sebuah lori yang diperiksa dan ditahan PPM Labuan.

LABUAN: Cubaan menyeludup minuman keras tidak bercukai ke tanah besar Sabah oleh tiga individu berjaya dipatahkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan.

Pegawai Pemerintah PPM Labuan ASP Saidul Maruf Rosli berkata, pihaknya berjaya menahan tiga lelaki tempatan yang merupakan pemandu setiap lori yang diperiksa di Pekan Menumbok malam semalam.

“Pasukan menahan tiga buah lori dan membuat pemeriksaan lanjut ke atas lori terbabit.

“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa jenis minuman keras tidak bercukai yang disyaki cuba diseludup ke tanah besar Sabah,” katanya menambah, lori terbabit dipercayai bergerak dari Labuan menuju ke Menumbok dengan menaiki feri kenderaan.

Katanya, nilai rampasan minuman keras termasuk tiga buah lori dianggarkan melebihi RM663,000 termasuk cukai.

Tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort untuk tindakan lanjut.

TAHAN: Salah seorang individu yang juga pemandu lori, ditahan kerana membawa minuman keras tidak bercukai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Saidul berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197.

scroll to top