Oleh MARIAYATI MURSIDI
BEAUFORT: Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu berjaya mematahkan aktiviti cubaan penyeludupan minuman keras di kawasan tepi anak sungai daerah Menumbok, kelmarin.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu ASP Roslan Awang berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 9 malam selepas intipan terhadap beberapa orang indivdu di kawasan terbabit.
“Semasa intipan dijalankan di kawasan itu, kelihatan beberapa orang lelaki sedang melakukan aktiviti pemunggahan bungkusan plastik berwarna hitam daripada bot ke kawasan daratan.
“Pemeriksaan lanjut dijalankan menjumpai minuman keras sebanyak 29 karton jenama Carlsberg, 60 karton jenama Royal Stout dan 61 karton jenama Anchor dianggarkan bernilai RM15,000 dimuatkan dalam bot dan dipunggah ke daratan,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Katanya, kesemua minuman keras itu dipercayai dibawa dari Labuan, dan tujuh lelaki berusia lingkungan 27 hingga 47 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
Turut dirampas sebuah bot menggunakan enjin 200HP dan tiga buah kenderaan. Keseluruhan nilai rampasan bot, kenderaan dan minuman keras dianggarkan berjumlah lebih kurang RM338,000.
“Tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967,” katanya.
“Sebarang aktiviti penyeludupan boleh disalurkan kepada PPM Wilayah 4 Sabah melalui aplikasi WhatsApp di talian 013-2831197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai berdekatan,” katanya.