Oleh MARIAYATI MURSIDI
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menggagalkan cubaan menyeludup minyak petrol di kawasan Pondohan, Laut Kuala Bibang dekat sini awal pagi hari ini.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna DSP Mohammad Ismail berkata, semasa menjalankan operasi kira-kira jam 2 pagi, polis marin ternampak dua lelaki sedang memunggah barang dari sebuah rumah Pondohan ke dalam dua bot laju.
Beliau berkata, menyedari kehadiran polis, dua lelaki terbabit bertindak melarikan diri.
“Pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan menjumpai beberapa liter jerikin berisi minyak petrol. Seterusnya pemeriksaan terhadap dua bot laju juga menjumpai beberapa liter jerikin berisi minyak petrol, disyaki cuba diseludup keluar ke Filipina,” katanya menambah, jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM113,552.50.
Katanya, rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Mohammad berkata, Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-2831197.