Oleh MARIAYATI MURSIDI
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menggagalkan penyeludupan minyak petrol di kawasan laut Tanjung Manimpa dekat sini, petang kelmarin.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna DSP Mohammad Ismail berkata, semasa pasukan melakukan operasi di kawasan terbabit telah terserempak dengan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan.
“Apabila menyedari kehadiran Polis Marin, seorang lelaki dewasa bertindak terjun daripada bot dan melarikan diri ke kawasan bakau Tanjung Manimpa.
“Pemeriksaan lanjut terhadap bot laju terbabit menjumpai beberapa jerikin berisi minyak petrol dan satu tong gas,” katanya menambah, barang berkenaan dipercayai hendak diseludup ke negara jiran.
Beliau berkata, semua barang rampasan yang dianggarkan bernilai RM16,787.50 diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Semporna untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu beliau berkata, Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-939 1197.