SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menggagalkan penyeludupan rokok tanpa cukai di kawasan laut Pulau Bohey Dulang, Semporna, malam semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna DSP Mohammad Ismail berkata, kira-kira jam 10.30 malam semasa pasukannya membuat rondaan telah terserempak sebuah bot yang dijuragani seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Setelah dihampiri dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis, lelaki berkenaan bertindak melarikan diri dengan bot memecut laju hingga ke pesisir pulau dan lari ke hutan Pulau Bohey Dulang.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot telah menjumpai empat bungkusan kotak berisi pelbagai jenis rokok. Suspek dipercayai membawa rokok tanpa cukai dari Filipina,” katanya menambah, nilai rampasan keseluruhan termasuk bot dan enjin dianggarkan berjumlah RM63,650.
Katanya, rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna dan kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967.
Dalam pada itu, beliau berkata, Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Kawalan PPM Sabah di talian 013-9391197.