KOTA KINABALU: Seorang pengamal perubatan, Dr Nur Aini Abdul Rahman adalah antara lima calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen P.191 Kalabakan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November ini.
Dr Nur Aini yang bertanding mewakili Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) akan berdepan penyandang Ma’mun Sulaiman dari Parti Warisan,Datuk Andi Suryadi Bandy (BN-UMNO), Noraini Abd Ghapur (PH-PKR) dan Muhammad Dhiaudd N.Hassan (Bebas).
Beliau berpengalaman selama 20 tahun sebagai pengamal perubatan berdaftar, seorang yang minat menceburi bidang politik dan kebajikan.
Antara wawasan beliau ialah meningkatkan status ekonomi dan pendidikan rakyat Sabah seterusnya menaikkan imej negeri Sabah di arena kebangsaan dan pentas dunia.
Beliau bukan orang baru dalam politik kerana datuknya,Haji Mohammad bin Thamby pernah menjadi ADUN parti USNO di Merotai pada tahun 1969.
Dr Nur Aini juga pernah Ketua Wanita Cawangan UMNO, 2012-2014, pernah menjadi Ahli Majlis Daerah Kunak 2011-2014, 2019 dan pernah Ketua Cawangan PWS, 2018-2020. serta menjadi Pengerusi Kelab Wecare, 2019-2020.
Memulakan kerjaya sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Queen Elizabeth 1 pada 1999 hingga 2000, beliau juga pernah berkhidmat di Hospital Papar,dan perkhidmatan Doktor Udara Yayasan Sabah.
Beliau juga pernah menjadi Pegawai Kesihatan dan Perubatan di Jabatan Kesihatan Daerah Kunak pada 2000 hingga 2004. Selepas itu Dr Nur Aini membuka kliniknya sendiri di Kunak, Semporna dan Tingkayu.
Lahir di Kampung Tanjung Batu Darat, Dr Nur Aini mendapat pendidikan awal di SRK Tanjung Batu Darat kemudian melanjutkan pelajaran menengah di SMK Tawau, SM Sains Lahad Datu, SM Sains Kota Kinabalu seterusnya Matrikulasi sains di Kuala Pilah.
Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Perubatan (M.D) dari Universiti Kebagsaan Malaysia pada tahun 1999.
Antara pencapaiannya ialah mewakili sekolah, universiti dan jabatan di peringkat daerah, negeri dan negara dalam pelbagai bidang seperti pengucapan umum, melukis, seni silat dan sukan.
Selain itu, beliau pernah menjadi Ketua Kajian yang memenangi Geran Kajian Kesihatan Kanak-Kanak Peringkat Asia Pasifik 1998 antara Universiti perubatan.
Dalam PRU-15, Dr Nur Aini mewakili Pejuang-Gerakan Tanah Air (GTA), parti yang dipimpin oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.