Dua ADUN dalam Kabinet baharu bukan wakil UMNO Sabah – Bung Moktar

BUNG MOKTAR

KOTA KINABALU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini mendakwa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu yang dilantik dalam barisan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah tidak mewakili UMNO negeri berkenaan.

Dua ADUN itu ialah Datuk Shahelmy Yahya (Tanjung Keramat) yang dilantik Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya iaitu portfolio disandang Bung Moktar sebelum ini, manakala ADUN Sugut Datuk James Ratib dilantik Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

Bung Moktar yang juga ADUN Lamag, berkata pelantikan yang tidak diiktiraf UMNO Sabah itu dilihat membelakangkan parti dan hanya mewakili individu untuk kepentingan diri masing-masing tanpa memikirkan masa depan parti secara menyeluruh.

“Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor juga tidak boleh mengatakan atau mengiktiraf mereka ini mewakili UMNO dalam barisan Kabinetnya… perkara berkenaan akan dibawa ke Lembaga Disiplin (UMNO) kerana membelakangkan keputusan UMNO Sabah dan BN (Barisan Nasional) Sabah.

“Kita akan berbincang dengan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) untuk mengambil sebarang tindakan selanjutnya,” katanya yang juga Pengerusi BN Sabah menerusi kenyataan kelmarin.

Hajiji hari ini mengumumkan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah yang baharu, dengan tujuh melibatkan ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS), manakala masing-masing dua daripada BN dan Pakatan Harapan (PH).

Rombakan itu juga menyaksikan pelantikan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I, menggantikan Bung Moktar.

Bung Moktar mendakwa rombakan tersebut juga memperlihatkan sikap cuba membelakangkan saranan penubuhan Kerajaan Perpaduan di Sabah disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dengan pemimpin negeri itu pada Isnin lepas.

Sementara itu, beliau berkata UMNO Sabah bersedia untuk menjadi pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan akan memainkan peranan tersebut secara berkesan.-BERNAMA.

scroll to top