Dua Bot Nelayan Ditahan Terlibat Aktiviti Bom Ikan

TAHAN: Dua bot nelayan dan lima suspek yang ditahan bersama peralatan bom ikan yang dirampas.

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu menahan dua buah bot nelayan di kawasan Selatan Pulau Mengalum, dekat sini dipercayai terbabit aktiviti bom ikan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu ASP Roslan Awang berkata, semasa berada di kawasan berkenaan, Polis Marin membuat pemeriksaan terhadap dua buah bot nelayan yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap dua bot nelayan berkenaan mendapati beberapa peralatan yang disyaki digunakan bagi aktiviti pengeboman ikan dan juga pelbagai jenis ikan.

“Turut ditahan dalam operasi itu ialah lima lelaki berumur antara 21 hingga 52 tahun,” katanya, menambah nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM7,300.

Beliau berkata, rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan.

Roslan berkata, PPM Wilayah 4 Sabah menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi WhatsApp di talian 013-939 1197 bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan.

scroll to top