Dua bot tunda ditahan

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot tunda di perairan Tuaran dan Kota Belud, di sini, selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan, kelmarin.

Kedua-dua bot tunda berkenaan ditahan untuk pemeriksaan selepas dikesan menerusi radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) dalam operasi bermula jam 3.30 pagi.

Pengarah Maritim Malaysia, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, sebaik dikesan dalam keadaan mencurigakan, pasukan operasi terus dikerah ke Tanjung Tembungo, Tuaran dan Teluk Ambong, Kota Belud.

“Setiba di perairan Tanjung Tembungo, di sini, bot ronda Maritim Malaysia mendapati sebuah bot pukat tunda sedang melakukan aktiviti menunda di sekitar tiga batu nautika dari pantai.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati nama-nama kru yang bertugas juga tidak sama seperti tercatat pasa lesen bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, kelmarin.

Mohd Rosli berkata, bot dan kru kemudiannya ditahan untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952/60.

Sementara itu, di lokasi berbeza, Mohd Rosli berkata, bot ronda Maritim Malaysia manahan sebuah lagi bot pukat tunda di perairan Teluk Ambong pada jam 4.50 pagi.

“Bot pukat tunda berkenaan didapati sedang melakukan aktiviti menunda di pesisir pantai dan melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.

“Malah pemeriksaan turut mendapati empat kru bertugas juga tidak mempunyai permit kerja yang sah dan ditahan untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63,”’katanya.

Mohd Rosli berkata, kedua-dua bot tunda itu kemudiannya dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Sabah, Sepanggar, di sini, untuk siasatan lanjut.

Sehubungan itu, Mohd Rosli berkata, Maritim Malaysia menyeru kepada komuniti maritim untuk terus menyalurkan maklumat untuk tindakan penguatkuasaan.

Katanya, sebarang maklumat berhubung aktiviti jenayah yang berlaku di sekitar perairan Kota Kinabalu boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-387774.

scroll to top