Dua Ditahan Bawa Minyak Petrol Tanpa Permit

DITAHAN ... Dua suspek yang ditahan kerana didapati membawa barang kawalan minyak petrol Ron95 tanpa sebarang permit.

Oleh MARIAYATI MURSIDI

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) di sini menahan dua lelaki kerana didapati membawa barang kawalan minyak petrol Ron95 tanpa sebarang permit daripada pihak berkuasa di kawasan laut Tanjung Aru, dekat sini awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah PPM Sandakan DSP Rusdin Banin berkata, sepasukan pegawai dan anggota yang sedang menjalankan tugas risikan di kawasan berkenaan mendapati bot suspek bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Semasa pemeriksaan dijalankan ke atas bot mendapati terdapat dua lelaki iaitu juragan dan awak-awak yang masing-masing berumur 30 dan 23 tahun berada di dalam bot,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan mendapati terdapat barang kawalan iaitu sebanyak 21 jerikin minyak petrol yang dianggarkan berjumlah 600 liter dengan nilai anggaran RM1,230.

Jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot yang digunakan dianggarkan berjumlah RM27,230.

BOT: Bot yang digunakan kedua-dua suspek untuk membawa barang kawalan berupa 21 jerikin minyak petrol.

Rusdin berkata, juragan terbabit juga gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas semua barang kawalan yang dibawanya.

Kesemua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau turut menyarankan kepada masyarakat maritim agar menyalurkan maklumat kepada Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah melalui aplikasi WhatsApp ke talian 013-2831197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai berdekatan.

scroll to top