Oleh YUSOP TEPPO
BELURAN: Dua lelaki tempatan ditahan disyaki menyeludup dadah jenis syabu di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) ESSCOM Sapi Nangoh, petang kelmarin.
ESSCOM berjaya menemui dadah syabu seberat 12.37 gram dianggarkan bernilai RM1,200.00.
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Ahmad Fuad Othman berkata bertindak atas maklumat Task Force BN 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira jam 5.30 petang itu, ketika sepasukan anggota BN 20 PGA membuat sekatan jalan raya di RCP Sapi Nangoh, telah menahan dan memeriksa sebuah kereta yang dinaiki 2 lelaki dalam keadaan mencurigakan dari arah Sandakan menuju ke Kota Kinabalu.
Beliau berkata hasil pemeriksaan tubuh badan terhadap pemandu berkenaan, telah menemui 2 paket plastik lutsinar yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu yang disembunyikan dalam sampul surat putih.
“Kedua-dua suspek yang berumur antara 38-44 tahun telah ditahan untuk tindakan lanjut.
“Turut disita sebuah kereta jenis Hyundai Atos yang dianggarkan bernilai RM15,000.00,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata kesemua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 39A(1), Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sehubungan itu, Ahmad Fuad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi keselamatan yang terlibat dalam membantu menjayakan pelaksanaan Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) di simpang Sapi Nangoh di daerah ini terutamanya kepada semua anggota BN 20 PGA.

PERIKSA.. Kenderaan suspek diperiksa oleh pihak ESSCOM.
Beliau berkata, kejayaan ini merupakan hasil usaha dan kerjasama semua pihak yang terlibat terutamanya dalam kita untuk menggagalkan taktik penyeludup dadah di daerah ini.
“ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan di ESSZONE yang terdiri daripada PDRM, ATM dan APMM akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan di seluruh ESSZONE.
Katanya, kita akan mengadakan rondaan dan pemantauan secara agresif melalui pelaksanaan OP Cegah Pati (OCP) dan Pusat Pemeriksaan Darat (RCP) di Kalabakan, Tawau dan di Simpang Sapi Nangoh, Beluran bagi mengawal dan mengekang kemasukan PTI terutamanya daripada negara jiran dalam usaha kita untuk memutuskan rangkaian COVID-19 daripada dibawa masuk ke negara ini melalui PTI.