Oleh YUSOP TEPPO
SANDAKAN: Dua individu yang ditembak mati bersama tujuh lagi anggota kumpulan Abu Sayyaf yang ditahan di Pulau Timbang dekat sini, sedang merancang melakukan penculikan.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata salah seorang dari dua yang ditembak mati itu adalah perancang utama bagi melaksanakan penculikan terhadap tauke-tauke atau pemilik ladang di kawasan itu serta sekitarnya termasuk Sukau.
“Hasil soal siasat kita juga terhadap salah seorang yang berjaya ditahan di Taman Sri Arjuna, Beaufort pada 8 Mei lepas dan merupakan ‘sub Leader’ Abu Sayyaf yang telah diserahkan kepada pihak berkuasa Filipina mendedahkan bahawa kumpulan yang berada di Pulau Timbang ini merancang melakukan penculikan terhadap tauke-tauke ladang di kawasan itu.
“Ekoran dari itu, pihaknya telah meningkatkan risikan dan melancarkan operasi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan pada Jumaat.
Beliau berkata pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bersama Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang terdiri daripada Tiger Platun, Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am (PGA) melancarkan operasi di sebuah ladang di Pulau Timbang Sandakan lebih kurang jam 2 pagi pada 18 Ogos lepas.
“Dalam operasi itu, pihaknya telah menahan 25 lelaki dan beberapa individu berjaya meloloskan diri,” katanya.
Hazani berkata hasil soal siasat yang dijalankan terhadap warga Filipina yang ditahan itu telah mendedahkan tujuh orang adalah ahli kumpulan Abu Sayyaf.
Beliau berkata pihaknya kemudian melakukan operasi susulan di Pulau Timbang bagi mengesan individu yang berjaya meloloskan diri dari operasi dua hari lepas.
“Pihak Esscom telah menembak mati dua suspek setelah berbalas tembak lebih kurang jam 5 pagi tadi,” katanya.
Hazani berkata operasi ini adalah hasil kejayaan yang digerakan sepenuhnya oleh pihak Esscom dan dibantu oleh PDRM serta agensi lain seperti APMM dan ATM.
“Dan ini juga sokongan padu sepenuhnya dengan hasil pertukaran maklumat dengan pihak pasukan Filipina,” katanya.
Beliau berkata pihaknya masih melakukan siasatan lanjut lagi terhadap tujuh yang ditahan itu.
“Kita percaya berdasarkan pertukaran maklumat antara dua pihak, ada lagi saki baki ahli kumpulan pengganas itu di negeri ini.
Menjawab soalan media, Hazani memberitahu mengikut maklumat yang diterima di mana mereka ini bekerja di ladang berkenaan dan perancangan bagi melakukan penculikan dipercayai dirancang sejak bulan Mac lepas.