Dua Kluster Baharu, 279 Kes Positif, 3 Kematian

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan dua kluster baharu dan 279 kes positif dan tiga kematian akibat COVID-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kematian direkodkan masing-masing satu kes di Semporna, Lahad Datu dan Beaufort.

MASIDI MANJUN

“Dua kluster baharu direkodkan ialah Kluster Istimewa Dua, Sandakan dan Kluster Lumadan, Beaufort,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Kluster Istimewa Dua, Sandakan melibatkan jangkitan dalam komuniti di lokaliti terbabit.

“Sebelum ini, Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan pernah melaporkan kejadian kluster di kampung yang sama pada 14 November 2020.

“Pada kali ini, kes indeks merupakan lelaki, 48, dikesan positif COVID-19 hasil saringan bergejala pada 25 Jun 2021 di Klinik Kesihatan Sandakan.

“Saringan yang dijalankan terhadap 261 kontak mendapati 27 orang disahkan positif termasuk dua kes baharu, sementara 229 orang didapati negatif dan lima orang lagi masih menunggu keputusan.

“Pengesanan kontak rapat dan siasatan lanjut masih giat dijalankan,” katanya.

Kluster Lumadan, Beaufort pula melibatkan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan ahli keluarga dan rakan sekerja dari pelbagai lokaliti berbeza di sekitar Mukim Lumadan.

Kes indeks adalah lelaki, 19, disahkan positif COVID-19 melalui ujian RTK-Ag 100% di Klinik Subha Beaufort pada 29 Jun 2021, selepas bergejala demam dan batuk sejak 24 Jun 2021. Hasil saringan kontak rapat, sembilan ahli keluarga dan jiran didapati positif.

“Berdasarkan siasatan, kegagalan mematuhi SOP dan penjarakan fizikal semasa aktiviti permainan atas talian (online gaming) dalam kalangan belia dikenal pasti menjadi punca penularan.

“Bermula dari 29 Jun hingga 8 Julai 2021, terdapat 46 kes termasuk dua kes baharu hari ini daripada 110 saringan yang dijalankan. Kadar positif adalah sebanyak 41.81%,” katanya.

Masidi berkata, Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 35 kes pada hari ini kepada 279 kes berbanding kelmarin 244 kes, di mana lapan daerah merekodkan peningkatan kes.

“Pitas merekodkan 128 kes, Sandakan (16), Putatan (13), Kinabatangan (8), Tongod (6), Penampang (6), Tuaran (4) dan Kota Marudu (3).

“Peningkatan kes agak ketara berlaku di Pitas, di mana daripada jumlah itu, sebanyak 126 kes berpunca daripada saringan Kluster Tanjung Pitas dan dua lagi berpunca dari lain-lain saringan.

“Kluster Tanjung Pitas disyaki berpunca daripada aktiviti majlis pengebumian di sebuah kampung dan juga kebarangkalian pergerakan antara Pulau Banggi dan Pitas yang menyumbang kepada jangkitan melibatkan ramai penduduk,” katanya.

scroll to top