Oleh MARIAYATI MURSIDI
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan dua kluster tempat kerja, 263 kes positif baharu COVID-19 dan tiada kes kematian.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjung berkata, kluster baharu berkenaan ialah Kluster Jalan Kayu Madang – Kota Kinabalu, Tuaran dan Kluster Lorong Berjaya, Kota Kinabalu.

DSP MASIDI MANJUN
“Kluster Jalan Kayu Madang – Kota Kinabalu, Tuaran melibatkan penularan jangkitan dalam kalangan pekerja di C&F Enterprise Sdn Bhd, KKIP Selatan. Kluster ini dikesan apabila kes indeks, wanita, 31, Pegawai Kawalan Kualiti di syarikat tersebut disahkan positif COVID-19 di Klinik Kesihatan Manggatal pada 30 Jun 2021, selepas bergejala demam dan hilang deria rasa sejak 27 Jun 2021.
“Kes indeks telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut. Sebanyak 177 sampel dalam kalangan kontak rapat telah diambil. Daripada jumlah itu, 11 kes termasuk lima kes baharu didaftarkan di Kota Kinabalu, manakala tujuh kes lagi di daerah Tuaran menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini adalah 18 kes,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Sementara itu katanya, 145 sampel negatif dan 22 lagi sedang menunggu keputusan ujian saringan. Pengesanan secara aktif sedang giat dijalankan oleh pasukan kesihatan dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Kluster Lorong Berjaya, Kota Kinabalu melibatkan jangkitan dalam kalangan kakitangan di premis perniagaan serta kuarters Jetsin Sdn Bhd Bandaran Berjaya.
“Kes indeks bagi kluster ini merupakan lelaki, 25, petugas khidmat pelanggan yang bergejala sejak 29 Jun 2021 sebelum dikesan positif dalam ujian saringan COVID-19 di Permai Poliklinik Bandaran pada 30 Jun 2021.
“Setakat 5 Julai 2021, sebanyak 104 sampel dalam kalangan kontak rapat telah diambil. Daripada jumlah tersebut, lapan kes dikesan positif termasuklah satu kes baharu yang direkod pada hari ini, sementara 14 sampel didapati negatif dan 82 sampel sedang menunggu keputusan ujian saringan.
“Aktiviti pengesanan kontak rapat dan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca jangkitan masih dijalankan,” katanya.
Masidi berkata, daripada jumlah kes baharu itu, 117 kes adalah daripada saringan kontak rapat, 48 kes saringan kluster, 11 kes saringan bergejala, 79 kes saringan bersasar dan lapan kes adalah daripada saringan lain-lain kes.