Oleh MARIAYATI MURSIDI
LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu menahan dua lelaki dalam satu operasi di kawasan perairan Laut Pelabuhan, dekat sini semalam kerana disyaki miliki dadah.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu Superintendan Gan Ping Sin berkata, pihkanya menahan dan memeriksa sebuah bot pam yang dinaiki oleh dua lelaki dalam keadaan mencurigakan, kira-kira jam 8 malam.
“Hasil pemeriksaan telah menjumpai satu paket kecil lutsinar berisi hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu dan dua gulung aluminium foil yang disembunyikan di dalam bot berkenaan.
“Kedua-dua lelaki terbabit juga didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah semasa diperiksa polis,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Katanya, kedua-dua lelaki terbabit ditahan dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Gan berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa menggalakkan semua masyarakat pesisir pantai untuk memberikan kerjasama menyalurkan maklumat sekiranya mendapati kegiatan jenayah di sekitar mereka.
“Kerjasama ini bagi memastikan keselamatan di perairan negara khususnya perairan Sabah dapat dijaga dan boleh terus menyalurkan sebarang aduan melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 013-2831197 atau berhubung terus ke Markas Operasi PPM Lahad Datu di talian 013-9808084,” katanya.