Dua Lokaliti Baharu PKPD, 2 Lanjut, 3 Ditamatkan

MASIDI MANJUN

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA KINABALU: Dua lagi lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) manakala dua dilanjutkan berkuat kuasa 6 Julai hingga 19 Julai 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, lokaliti baharu berkenaan ialah Blok 6, Kampung Titingan, Tawau dan Kampung Jambatan Baru, Membakut, Beaufort.

“Bagi siuasi terkini kes COVID-19 di Blok 6, Kampung Titingan, Tawau, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 17 ujian saringan dan sembilan daripadanya dilaporkan positif COVID-19 dengan kadar positiviti 52.94%.

“Manakala di Kampung Jambatan Baru, Membakut, Beaufort, pihak KKM telah melakukan 20 ujian saringan dan 17 daripadanya dilaporkan positif COVID-19 dengan kadar positiviti 85.00%,” katanya  dalam kenyataan media pada Ahad.

Katanya,pelaksanaan PKPD bertujuan menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari kedua-dua lokaliti berkenaan.

Sementara itu dua lokaliti yang dilanjutkan PKPD ialah Kampung Serudung Baru, Tawau dan Kampung Jaya Baru, Kunak.

Katanya, ia berikutan penularan masih berlaku dalam komuniti serta terdapat kes baharu direkodkan di kedua-dua lokaliti terbabit.

Sementara tiga lokaliti ditamatkan PKPD iaitu Ladang Brumas, Kalabakan; Kampung Pulutan, Nabawan; dan Taman Wijaya Park, Kota Kinabalu.

scroll to top