KOTA KINABALU: Dua lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa 5 Julai hingga 18 Julai 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.

Masidi Manjun
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, lokaliti berkenaan ialah Taman Zifa, Bingkul, Beaufort dan Kampung Simpangan, Kota Marudu.
“Bagi situasi semasa kes COVID-19 di Taman Zifa, Bingkul, Beaufort, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merekodkan 21 kes positif COVID-19 setelah 50 orang penduduk menjalani ujian saringan dengan kadar positiviti 42.00%.
“Manakala di Kampung Simpangan, Kota Marudu, pihak KKM melakukan 64 ujian saringan dan 10 daripadanya dikesan positif COVID-19 dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti berkenaan,” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.
Katanya, pelaksanaan PKPD bertujuan menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari kedua-dua lokaliti berkenaan.
Sementara itu, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di tiga lokaliti iaitu di Kampung Nelayan, Batu 10, Sandakan; Fasa 1 & Fasa 2, Taman Digot, Penampang; dan Kampung Rancangan Silabukan Peringkat 4, Lahad Datu.
“Ia berikutan pihak KKM terdapat penurunan dalam kes dari kawasan-kawasan berkenaan dan tiada lagi sampel menunggu keputusan,” katanya.