Dua Lokaliti Lanjut PKPD, 1 Lokaliti Baharu, 2 Tamat

MASIDI MANJUN

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA KINABALU: Kerajaan melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti sehingga 20 Julai 2021.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, dua lokaliti berkenaan ialah Kampung Ejuk, Kota Belud dan Kampung Warisan, Kota Kinabalu.

Menurutnya, kedua-dua lokaliti berkenaan dijadualkan tamat PKPD pada 6 Julai, bagaimanapun pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati penularan masih berlaku dalam komuniti serta terdapat kes baharu direkodkan di kedua-dua lokaliti berkenaan.

“Di Kampung Ejuk, Kota Belud, pihak KKM telah melakukan 89 ujian saringan dan 30 daripadanya disahkan positif COVID-19. Manakala di Kampung Warisan, Kota Kinabalu, 833 ujian saringan dilakukan dan 29 daripadanya disahkan positif COVID-19,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Dalam pada itu, satu lokaliti baharu iaitu Kampung Baru Batu 2, Jalan Apas, Tawau diarahkan menjalani PKPD berkuat kuasa 7 Julai sehingga 20 Julai 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.

“Pihak KKM telah melakukan 14 ujian saringan di lokaliti berkenaan dan sembilan daripadanya disahkan positif COVID-19. KKM mendapati kes meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu,” katanya.

Katanya, pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan penduduk berisiko dijangkiti COVID-19 kekal berada dalam kawasan.

Sementara dua lokaliti di Tawau iaitu Blok 11, Kampung Titingan dan Batu 7 Jalan Tinagat ditamatkan PKPD pada 6 Julai 2021.

Ia berikutan pihak KKM mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan.

scroll to top