Dua Maut, Seorang Parah Dalam Kemalangan di Jalan Kota Belud-Tuaran 

PANTAU ... Pihak polis memantau ditempat kejadian kemalangan.

KOTA BELUD: Dua maut manakala seorang lagi parah selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kota Belud-Tuaran berhampiran Bukit Kelawat, di sini awal pagi kelmarin.

Mangsa yang maut ialah Lee Chee Fui, 51, pemandu lori dan kelindannya Jonathan Lee Jun Liong, 17, disahkan maut dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata kejadian membabitkan sebuah lori dinaiki mangsa dan pacuan empat roda serta kenderaan jenis sedan.

“Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga mangsa di dalam lori yang membawa muatan barangan runcit itu dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Kota Marudu.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang sebuah pacuan empat roda.

“Akibat daripada kejadian itu, lori yang dipandu mangsa terlanggar tembok konkrit pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan,” katanya.

Menurutnya impak kejadian menyebabkan pemandu serta kelindannya maut di lokasi kejadian.

TERUK …Lori yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.

“Seorang lagi kelindan yang parah dihantar ke Hospital Kota Belud menggunakan ambulans untuk menerima rawatan lanjut.

“Kereta pacuan empat roda dan kenderaan jenis sedan yang terlibat dalan insiden ini turut terbabas manakala pemandu dan penumpang di dalam kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Semua pemandu yang terbabit dalam kemalangan ini tidak disyaki mabuk namun sampel darah akan diambil bagi tujuan toksikologi.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.-ADMIN.

scroll to top