Dua pendaki Gunung Kinabalu alami sesak nafas diselamatkan

DISELAMATKAN ...Salah seorang pendaki yang mengalami sesak nafas dibawa turun oleh pasukan Mosar.

RANAU: Dua pendaki yang mengalami sesak nafas ketika mendaki Gunung Kinabalu terpaksa diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) dalam dua kejadian berasingan, di sini, semalam.

Kejadian pertama dilaporkan berlaku kira-kira jam 7 malam membabitkan seorang wanita yang mengalami kesukaran bergerak.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kes kecemasan pertama pada jam 7.05 malam.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 28 anggota dan pegawai termasuk Mosar dan malim gunung dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi mangsa di VIP 3 Panarlaban, di sini, pasukan Mosar terus membawa mangsa turun ke ‘Timpohon Gate’.

“Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Ranau menaiki jentera EMRS untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, kelmarin.

Dalam kejadian berasingan, PGO JBPM kemudiannya menerima satu lagi panggilan kecemasan pada jam 10.11 malam.

Jurucakap PGO berkata, pasukan malim gunung memaklumkan seorang pendaki mengalami sesak nafas di kilometer 5.6 iaitu kira-kira 400 meter sebelum Panarlaban.

Katanya, pasukan Mosar bersama anggota Taman Taman Sabah (TTS) kemudiannya dikerah bergegas ke tempat kejadian.

“Pasukan Mosar pada awalnya memberikan rawatan bantuan oksigen bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa kemudiannya diiringi naik semula ke Panarlaban untuk pemantauan dari semasa ke semasa oleh PBB Mosar,” katanya.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.30 malam,” katanya.

scroll to top