Dua Remaja Maut Dalam Pertembungan Dua Motosikal

PETER UMBUS

Oleh MARIAYATI MURSIDI

TAWAU: Dua remaja lelaki maut selepas terlibat kemalangan dipercayai bertembung ketika menunggang motosikal di landasan lapangan terbang lama, Tawau, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, mangsa masing-masing berumur 15 dan 16 tahun didapati tidak memakai topi keledar keselamatan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, berdasarkan siasatan yang dijalankan, ketika kejadian kira-kira jam 5.30 petang kedua-dua motosikal mangsa didapati bertembung antara satu sama lain dipercayai dari arah bertentangan dan disyaki kedua-duanya terlibat dalam aktiviti lumba haram.

“Dalam pada itu, ujian COVID-19 yang dijalankan telah mengesahkan salah seorang dari mangsa (16 tahun) turut didapati positif COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan keterangan waris kedua-dua mangsa, mangsa pertama (15 tahun) menunggang motosikal dari arah Tanjung Batu Darat menuju ke Kampung Vietnam untuk menghantar ‘pengecas telefon’, manakala mangsa kedua (16 tahun), menunggang motosikal datang dari arah Kampung Seri Menanti menuju ke lapangan terbang lama untuk tujuan membeli sayur.

Katanya, proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian selain sampel darah kedua-dua mangsa turut diambil untuk dianalisa.

Peter berkata, berdasarkan video yang ditularkan, pihaknya turut mengesan saksi iaitu pemilik motosikal yang berada di lokasi kejadian menerusi pengesanan nombor pendaftaran pada motosikal.

“Bagaimanapun, individu terbabit berada pada pada jarak sekitar 20 hingga 30 meter dari tempat kejadian dan hanya melihat kepulan asap dari jauh sebelum mendekati mangsa,” katanya.

Sementara itu, usaha mengesan seorang lagi pemilik motosikal yang berada dalam video berkenaan masih dijalankan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

scroll to top