Elak jadi mangsa penipuan internet

Shahelmey (dua dari kiri) merasmikan program tersebut.

KOTA KINABALU: Warga emas perlu mengelak daripada menjadi mangsa penipuan internet.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, dalam era teknologi maklumat kini, ramai individu terdedah kepada penipuan internet termasuk warga emas.

“Kurangnya pengetahuan mengenai taktik-taktik penipuan yang diguna pakai merupakan punca untuk kita terdedah kepada bahaya penipuan internet terutama sekali golongan warga emas.

“Oleh itu, penting untuk kita memberi pendidikan dan pengetahuan berterusan kepada mereka tentang mengenal pasti taktik-taktik yang digunakan oleh scammer ini untuk tujuan memperdaya,” katanya ketika merasmikan Bengkel Memperkukuh Kewangan dan Teknologi  Senior – Kita Klik Dengan Bijak di sini, pada Rabu.

Menurut Shahelmey, bengkel tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada warga emas mengenai perlindungan sosial dan kewangan serta keperluan untuk mengetahui langkah-langkah mengelak daripada terpedaya.

Dalam majlis yang sama, Shahelmey turut merasmikan Sambutan Harga Warga Emas Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sabah Tahun 2022 yang bertemakan “Daya Tahan dan Sumbangan Warga Emas Wanita.”

“Peranan dan sumbangan yang dimainkan oleh wanita dalam pembangunan negara begitu besar dan tidak ternilai harganya.

“Sesungguhnya, komitmen, kesabaran dan kecekalan wanita sebagai seorang isteri dan ibu tidak pernah terhenti meskipun usia telah memasuki fasa warga emas dan harus kita hargai hingga hujung nyawa,” tambahnya.

Turut hadir, Pengarah Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jais Asri dan wakil Pengerusi PAWE Sabah, Budun Muari.-PENERANGAN.

scroll to top